Showing posts with label akidah. Show all posts
Showing posts with label akidah. Show all posts

Friday, 31 December 2010

Hari Jumaat, Hari Raya

Artikel di bawah ini merupakan hasil karangan Ustaz 'Umar Muhammad Noor. Sila nikmati faedah daripada tulisan beliau ini.

Beliau berkata :

Tulisan ini sebahagian dari artikel yg saya kirimkan ke majalah solusi isu 27 di kolum Akhir zaman. Sengaja saya muatkan di sini (ruangan note laman facebook beliau) untuk bacaan teman-teman yang mungkin belum mendapati majalah tersebut.

Hari Raya di Syurga

Mungkin tidak ramai dari kita yang menyadari bahawa hari raya di dunia ini sebenarnya gambaran bagi hari raya yang akan kita raikan di syurga nanti. Setiap hari raya yang kita raikan di dunia, akan kita raikan kembali di syurga. Namun kegembiraan mereka pada hari itu jauh melebihi kegembiraan mereka pada hari ini.

Berkata AlHafiz Ibn Rajab Al-Hanbali dalam Lataif Al-Maarif : “Adapun hari raya kaum muslimin di syurga, maka ianya adalah hari-hari di mana mereka berziarah kepada tuhan mereka, lalu disambut dengan penghormatan yang besar. Allah bertajalli kepada mereka dan mereka memandang kepada-Nya. Maka tidak ada suatu pemberian yang lebih disukai ahli syurga daripada pemberian ini.”

Hari Jumaat dikenal di kalangan ahli syurga sebagai hari bonus (yaumul mazid). Sebab pada hari itu segala kenikmatan dan kebahagiaan yang mereka rasakan ditambahkan lagi oleh Allah Swt. Hari Jumaat adalah hari perjumpaan antara ahli Syurga dengan Pemilik Syurga yang sangat dikasihi: Allah Swt.

Bazaar Syurga

Perjumpaan itu dimulai dengan perhimpuan di Bazaar Syurga (suq al-jannah). Bazaar ini bukan untuk berjual beli, akan tetapi menjadi sebuah tempat bagi ahli syurga berjumpa satu sama lain. Setelah berkumpul, mereka lalu bersama-sama berkunjung (ziarah) ke tempat perjumpaan mereka dengan Allah Swt.

Bazaar ini adalah perwujudan solat Jumaat yang biasa kita lakukan di dunia. Apabila di dunia kita keluar dari rumah dengan elok dan bersih untuk melaksanakan solat Jumaat, maka ahli syurga keluar dari rumah mereka dengan pakaian dan kendaraan yang sangat mewa untuk menghadiri majelis perjumpaan dengan Allah Swt.

Dalam hadis Muslim dari Anas bin Malik, Rasulullah Saw bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada sebuah bazaar (suuq) yang dikunjungi setiap Jumaat. Maka bertiup kepada mereka sebuah angin sejuk yang menyentuh wajah dan pakaian mereka dengan kesturi. Merekapun semakin bertambah tampan dan indah. Mereka lalu kembali ke isteri-isteri mereka yang menyembutnya dengan ucapan: “Kamu semakin tampan”. Mereka menjawab: “Kamu pun, demi Allah, semakin cantik dan indah.”

Jika dalam solat Jumaat kita hanya berjumpa dan bermunajat kepada Allah dengan hati kita, maka pada hari Jumaat di Syurga nanti kita melihat Allah dengan mata kita dan berbicara kepada-Nya dengan sangat akrab.

Dalam hadis panjang yang diriwayatkan Al-Tirmidzi dan Ibn Majah, Rasulullah Saw menjelaskan bahawa apabila ahli syurga memasuki bazaar itu, mereka ditempatkan dalam majelis sesuai dengan amalan masing-masing. Mereka duduk di atas kursi-kursi terbuat daripada emas, permata, berlian, perak dan lain-lain. Orang yang paling rendah darjatnya daripada mereka duduk di atas lantai pasir yang terbuat daripada kesturi.

Lalu diizinkan bagi mereka untuk menziarahi Allah. Tuhan mereka bertajalli, menampakkan zat-Nya kepada mereka, dan berbicara kepada mereka satu persatu.

Baginda bersabda: “Tidak ada seorangpun yang berada di dalam majlis tersebut melainkan diajak bicara oleh Allah Swt. Bahkan Allah Swt bertanya kepada salah seorang daripada mereka: “Wahai polan, ingatkah engkau hari ini dan ini?” Allah mengingatkannya sebahagian dosa-dosanya di dunia. Orang itu segera berkata: “Wahai tuhan, bukankah engkau telah mengampuni dosa itu?” Allah menjawab: “Ya. Karena keluasan maghfirah-Ku engkau berada di tempat ini.”

Majelis ini sangat agung. Setiap hamba yang mencintai tuhannya merasakan kegembiraan yang tak terkira setiap kali menghadiri perjumpaan ini. Mereka lalu kembali ke rumah masing-masing sambil membawa “pencerahan” di jasad dan hati mereka, lebih besar daripada yang pernah mereka rasakan setiap kali kembali daripada mendengar khutbah dan melakukan solat Jumaat di dunia.

Ustaz 'Umar Muhammad Noor

Bersegera Hadir

Kenyataan ini patut meningkatkan motivasi yang mendorong kita bersegera untuk mendatangi solat Jumaat setiap minggu dari sekarang. Sebab kesegeraan itu akan menentukan posisi duduk kita di dalam masjid, sekaligus tempat duduk kita di majelis perjumpaan dengan Allah di dalam Syurga.

Imam Ibn Khuzaimah dalam Kitab Al-Tauhid meriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya: “Bersegeralah mendatangi solat Jumaat. Sesungguhnya Allah Swt menampakkan Zat-Nya kepada ahli syurga (yang berada) di atas gunung Kafur yang putih setiap hari Jumaat. Maka kedekatan mereka ditentukan oleh kesegeraan mereka mendatangi solat jumaat.”

Berkata Ibn Taymiah dalam Majmu’ Al-Fatawa: “Perkara yang disebutkan Ibn Mas’ud ini tidak ada yang mengetahuinya kecuali Nabi atau orang yang mendengarnya dari Nabi. Jadi, jelas sekali bahawa Ibn Mas’ud mendengar keterangan ini dari Nabi Saw.”


Selesai tulisan Ustaz 'Umar Muhammad Noor.

Tambahan :

  1. Ustaz ' 'Umar Muhammad Noor kini bertugas sebagai Imam di Masjid as-Syafa'ah, Woodlands, Singapura. Beliau merupakan seorang ulama' hadis kelahiran Indonesia yang menamatkan pengajian beliau di Omm Durman Islamic University of Suria (Syria) di dalam bidang as-Sunnah wa 'Ulumu-l-Hadith. Pernah mengajar di Kolej Pengajian Tinggi Islam (Marsah), Johor Bahru. Beliau juga merupakan salah seorang penulis di majalah Solusi.
  2. Bab "melihat Allah di Syurga" termasuk dalam salah satu daripada perbincangan ilmu tauhid. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama' ilmu kalam mengenai perkara ini. Namun, di sisi kita, ahli Sunnah wa-l-Jama'ah, perkara tersebut adalah harus. Sila rujuk di dalam Jauharatu-t-Tauhid karangan Imam Laqqani, Kharidah Bahiyyah karangan Imam Ahmad Dardir dan lain-lain.
  3. Gambar di atas adalah tambahan daripada saya. Sumber asal adalah di sini.
wAllahu A'lam.

Wednesday, 24 March 2010

" الأوّل " ATAU " القديم " ? BAGAIMANA PULA " الآخر "? ATAU " الباقي " ?

Secerah inikah aqidah anda?

Telah bertanya seorang yang budiman :

“Apa maksud nama Allah ـ الأول ـ dan ـ الآخر ـ dalam Asma’ul Husna[1]? Maksudnya Allah itu pemula segala sesuatu dan pengakhirnya?”

Jawapan :

Kalimah " الأوّل " secara asasnya menunjukkan pemula bagi sesuatu iaitu yang pertama dari segi turutan sesuatu. Seperti kita biasa gunakan : awal bulan bererti di hari permulaan bagi bulan tersebut, awal minggu pula bererti hari yang pertama bagi minggu tersebut dan banyak lagi contoh-contoh lain.

Kata nama yang terdapat di dalam bahasa Arab juga seperti bahasa kita dengan mempunyai kata nama ‘am dan khas. Kata nama ‘am disebut " نكرة " atau “nakirah”, dan kata nama khas pula disebut " معرفة " atau “makrifah”. Kalimah " الأوّل " di atas adalah tergolong dalam kategori kedua iaitu kata nama khas.

Kadang kala kalimah ini juga boleh disebut secara ithlaq kepada selain Allah dengan syarat, telah dinyatakan secara sorih (jelas) apa yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut sebelum itu. Seperti di bawah :

Imam Baajuri rahimahullah berkata di dalam “at-Tuhfah”[2]:


" ثمّ إنّ التكليف : إلزام ما فيه كلفة ، و قيل : طلب ما فيه كلفة ، فعلى الأوّل ـ و هو الراجح ـ يكون قاصراً على الوجوب والحرمة "

“Kemudian (ketahuilah) sesungguhnya ‘taklif’ itu : adalah memestikan sesuatu yang terdapat padanya suatu bebanan. Juga dikatakan : Meminta sesuatu yang terdapat padanya suatu bebanan (agar dilaksanakan). Maka (jika berpegang) dengan pertama itu - yang juga merupakan pendapat rajih – taklif itu sekadar mencakupi hukum wajib dan haram . . .” tamat.


Lihat penggunaan kalimah tersebut di atas, ianya disebut secara bersendirian tanpa diiringi dengan apa-apa kalimah selepas huruf jar ـ على ـ . Penggunaan sebegitu sah apabila sebelumnya lagi telah dinyatakan dua pendapat mengenai takrif bagi taklif. Maka lafadz " الأول " terus merujuk kepada pendapat yang pertama disebutkan.

Manakala kalimah " الأوّل " di dalam perbincangan kita ini adalah merujuk terus kepada Allah. Ini kerana menurut para ulama, kalimah ini dan apa jua kalimah di dalam bahasa ‘arab apabila diithlaqkan (disebut secara bersendiria tanpa ada diiringi apa-apa kalimah lain itu) adalah khusus ditujukan kepada Allah selama mana kalimah tersebut menunjukkan kepada sifat-sifat kesempurnaan, ketuhanan, keagungan, dan kesucian bagi Allah SWT.


DEFINISI

Kalimah " الأوّل " di atas memberi makna “Maha Awal” iaitu Yang Mengawali segala sesuatu dari sudut tanpa ada sesuatu pun yang boleh mendahuluinya dari segi turutan kewujudan. Maka Allah SWT itu bersifat dengan sifat Awal bagi segala sesuatu.

Pembaca yang budiman,

Berdasarkan takrif yang saya sebutkan sebentar tadi, telah jelaslah bahawa sifat ‘Maha Awal’nya Allah itu adalah sebagaimana disebutkan oleh sebahagian para ulama’ Tauhid dengan ungkapan sifat ‘qidam’ atau sedia ada bagi Allah. Ini bererti Allah SWT itu adalah Maha suci daripada sifat " حدوث " atau baharu.

Sedia adanya Allah SWT itu adalah tanpa permulaan. Tanpa ada terkesan dengan sesuatu yang lain. Maka sedia adanya atau Maha Awalnya Allah itu adalah dari sudut tersedia ada secara sendirinya tanpa ada sedikitpun dibatasi dengan permulaan waktu, permulaan memenuhi ruang, permulaan berada pada mana-mana arah dan sebagainya yang tidak layak bagi Allah. Allah Maha suci daripada kesemua itu.

Maka secara jelasnya, ini telah membenarkan apa yang diajarkan oleh Al-Qur’an :


ليس كمثله شيء و هو السميع البصير

Bermaksud : Tidaklah sesuatu itu menyerupai seperti-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

PERBINCANGAN

Terdapat beberapa pihak yang mendakwa penerangan di atas adalah merupakan sesuatu yang menyusahkan akal dan penerimaan bagi umat Islam. Mereka mengatakan bahawa penerangan sifat sedia ada bagi Allah itu adalah kerana terkesan dengan metodologi filosofis barat daripada Yunani melalui ilmu Mantiq. Sebahagiannya lagi dengan ringan lidah telah menyatakan bahawa ianya adalah bid’ah yang keji.

Suka saya cadangkan kepada mereka, banyakkan membaca sejarah perkembangan ilmu Tauhid. Teliti dengan hati yang bersangka baik dan berlapang dada terhadap semua sumber yang anda temui. Utamakan soal kebenaran dalam kesatuan ummah berbanding berusaha bermati-matian untuk mempertahankan hujah. Tidak kira samada hujah tersebut benar atau batil, utamakan soal perpaduan dengan penuh adab. Saya percaya tiada sesiapa yang akan mudah menentang anda jauh sekali untuk mengecam anda selama anda tahu beradab.


PENCERAHAN

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ Tauhid ( Ahli Sunnah ) dalam menggunakan samada kalimah " الأول " atau kalimah " القديم " untuk menerangkan sifat bagi Allah SWT. Sebentar lagi saya akan cuba bawakan kepada anda penyelesaian yang dinyatakan oleh para ulama’ dalam berinteraksi dengan perbezaan pendapat dalam perkara ini. Lafaz “Awal” disebut di dalam dua sumber utama bagi Umat Islam.

Firman Allah :

هو الأوّل و الآخر


Maksudnya : Dialah Yang Maha Awal dan Maha Akhir.

( Surah al-Hadid : 3 )


Lidah Rasulullah SAW menuturkan ketika menasihati para sahabat baginda tentang apa yang perlu dibaca sebelum tidur lalu bersabda :


اللهمّ أنت الأول و ليس قبلك شيء ، و أنت الآخر و ليس بعدك شيء


Bermaksud : Ya Allah, Dikaulah Maha Awal dan tiada sesuatu pun sebelumMu, dan Dikau jualah Maha Akhir dan tiada sesuatu pun selepasMu.[3]

Rasulullah SAW sendiri telah menjelaskan maksud bagi kalimah tersebut di dalam hadis di atas. Penjelasan baginda SAW mengenai Maha Awalnya Allah itu adalah dengan tiada sesuatupun yang wujud sebelum Allah.

Sebahagian mereka [4] menggunakan lafaz " قديم " dan sebahagiannya lagi menggunakan lafaz " أوّل " ketika cuba menerangkan maha sucinya Allah daripada sifat baharu.

Bagi yang menggunakan lafaz yang pertama[5], mereka cuba menafikan sifat baharu bagi Allah beerti Allah itu mustahil memiliki sesuatu sifat yang baharu. Jika Allah bersifat dengan sifat baharu, maka Allah itu berhajat kepada sesuatu yang menjadikannya baharu. Maka itu menunjukkan bahawa Allah adalah makhluk kerana dijadikan oleh sesuatu dan itu adalah mustahil. Saya tidak memanjangkan perbahasannya di sini. Sila rujuk perbincangan mengenai sifat-sifat Allah dengan lebih terperinci.

Bagi yang menggunakan lafaz yang kedua pula[6], mereka cuba menyatakan sifat pemula atau maha awal yang mutlaq bagi Allah iaitu tiada sesuatu pun yang mendahului Allah dari segi kewujudan.

Mereka berhujah bahawa lafaz ini adalah lafaz yang disebutkan oleh nas syara’. Mereka juga berpendapat bahawa lafaz ini menunjukkan bahawa Allah SWT itu tidak mungkin bersifat dengan sifat baharu.

Di sini kita dapat perhatikan, kedua-dua kelompok di atas bersepakat dalam mensucikan Allah daripada sifat-sifat kekurangan antaranya sifat baharu bagi Allah. Mereka menggunakan lafaz yang berbeza namun tetap mempunyai tujuan yang sama.

Disebabkan itu juga perbahasan mengenai sifat qidam atau awal bagi Allah ini adalah termasuk di bawah sifat salbiyyah[7]. Para ulama’ telah menaskan di dalam kitab-kitab mereka bahawa sifat salbiyyah itu adalah : qidam, baqa’ (kekal atau tidak mungkin terhapus dan binasa), mukhalafatullah lil-hawadith (Allah tidak sama dengan sesuatu yang baharu), qiyamuHu binafsiHi (berdiri dengan diriNya sendiri tanpa berhajat kepada sesuatu selainNya), dan wahdaniyyah (keesaan).[8]

Oleh yang demikian, lafaz qidam atau awal itu tetap mempunyai keistimewaannya tersendiri. Lafaz “Awal” menunjukkan Maha Awalnya dari segi tiada sesuatu punwujud sebelum-Nya. Manakala lafaz “qidam” pula menunjukkan Maha Awalnya dari segi kewujudan Allah itu tidak didahului dengan tiada. Maka perlulah disabitkan bahawa Allah itu bersifat dengan sifat sedia ada agar ternafilah sifat baharu daripada Allah. Ini kerana hanya yang bersifat baharu sahaja yang akan didahului kewujudannya itu dengan ‘tiada’. Allah Maha Agung dan Maha suci daripada bersifat sedimikian.


SIFAT " الآخر " DAN " البقاء "

Perbahasan sifat ini juga seperti sifat qidam dan awal di atas.

Bezanya, sifat " الآخر " itu menunjukkan bahawa Allah itu

Maha Akhir dari segi tiada sesuatu pun yang wujud selepas-Nya. Manakala sifat " البقاء " pula menunjukkan bahawa Allah itu Maha suci daripada binasa atau kewujudan Allah itu tidak diakhiri dengan tiada atau kewujudan Allah itu tidak disudahi selepasnya dengan tiada atau Allah itu bersifat maha kekal.

Kedua-duanya bersepakat dalam berperanan menyatakan maha sucinya Allah daripada sifat binasa dan maha agungnya Allah itu dengan sifat kekal tanpa dibatasi dengan waktu dan apa jua sekalipun.


ULASAN

Istilah “Awal” dan “Akhir” adalah istilah rabbani yang mempunyai objektif dan peranannya yang mulia.

Istilah “qidam” dan “baqa’” juga merupakan istilah yang mempunyai objektif dan peranannya yang tersendiri. Malah terdapat di dalam perbahasan melalui kedua-dua istilah ini yang tidak terdapat pada lafaz “Awal” dan “Akhir”. Tambahan pula, peranannya adalah untuk mensucikan Allah daripada sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya dan itu adalah terpuji di sisi syarak. Hanya orang yang melihat dari sisi ulama’ memandangnya sahaja yang akan berasa tenteram dengan penggunaan istilah ini. Manakala yang tidak merasa tenteram itu akan terus diperbudak-budakkan oleh nafsu dan keterbatasan akal mereka.

Islam mengajar kita menggunakan akal dalam beragama. Mengajar kita akidah melalui perantaraan wahyu. Namun tidak pula membiarkan kita hanyut tenggelam dengan keasyikan akal yang terbatas kemampuannya, dan tidak juga mendidik kita untuk bersikap jumud dalam berpegang kepada nas syarak. Berhati-hatilah.


Ketekunan para ulama' hendaklah disyukuri bukan diperlekehkan

BIARKAN AIR ITU MENGALIR TENANG

Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah di sini kesungguhan para ulama’ dalam membahaskan sifat-sifat yang sempurna bagi Allah. Mereka berhabis-habisan tenaga dan idea dalam usaha untuk mempertahankan akidah Islam yang cukup suci, cukup seni dan cukup tepat bersesuaian dengan fitrah kejadian alam. Mereka telah lama berkhidmat dalam memastikan agar Allah itu (di pandangan manusia) Maha Agung, Maha Sempurna, dan Maha Suci daripada sifat-sifat kekurangan, sifat-sifat mahkluk dan segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.

Namun dukacitanya, terdapat segelintir pihak yang begitu keras dan radikal dalam memberikan komentar mereka terhadap pendapat para ulama’ ini. Sehinggakan ada yang berani memperlekehkan perbahasan-perbahasan yang telah diasaskan oleh para ulama yang mulia ini, bahkan telahpun tamat dibincangkan oleh mereka. Menuduh mereka sebagai pemuja metodologi Yunani. Menuduh mereka sebagai ahli bid’ah. Allahu Allah. Ya Allah, ampunilah hamba-hambaMu yang jahil murakkab ini[9].

Saranan saya kepada semua, hiasilah lapangan ilmiah dengan bersangka baik dan berlapang dada. Saya tidak katakan perlu bersangka baik sehingga sudah jelas batil pun kita masih membenarkan sahaja. Tetapi dengan banyak bersangka baik, kita akan lebih berlemah lembut dan beradab dalam membincangkan apa-apa jua perkara samada ia berbentuk ilmiah, mahupun tidak. Ianya berbentuk usul (asas) agama atau hanya furu’ sahaja (cabang).

Bukankah sikap ini yang diajarkan oleh baginda SAW kepada kita? Bukankah sikap ini yang diperagakan oleh para sahabat RA buat tatapan umat terkemudian ini? Bukankah ini sikap para mu’minin?

Para mu’minin itu berlemah lembut, berkasih sayang, bersangka baik, dan berlapang dada. Lebih-lebih lagi sesama saudaranya sendiri.

Semoga kita menjadi pengikut baginda Nabi SAW yang sentiasa cuba merealisasikan ayat al-Qur’an :



و كذلك جعلناكم أمّةً وسطا


Bermaksud : Dan (disebabkan itu) yang demikian Kami jadikan kamu (Umat Nabi Muhammad) sebagai umat yang pertengahan (adil).

( Surah Al-Baqarah : 143 )

Biarkanlah arus perkembangan ilmiah kita dalam memahami Islam berada dalam keadaan tenteram umpama air yang mengalir tenang. Jangan dikocak-kocak dengan sengaja. Dan jangan pula berasa cemburu dengan ketenangan itu. Moga terjawab persoalan yang diberikan. W-Allahu A’lam.

Rujukan :

  1. Mushaf Uthmani ; Al-Qur’an Al-Karim.
  2. " تحفة المريد على جوهرة التوحيد " atau Tuhfatul-Murid ‘ala Jauharah at-Tauhid ; Imam Baajuri.
  3. " الاقتصاد في الاعتقاد " atau Al-Iqtishad fi al-I’tiqad ; Hujjatul-Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali.
  4. " الجانب الإلهي في فكر الامام الغزالي " atau Al-Jaanibul-Ilaahi fi Fikril-Imam al-Ghazaali ; Prof. Dr. Toha Hibisyi ad-Dusuuqi.

[1] Asma’ul-Husna adalah istilah yang menunjukkan nama-nama yang sangat baik bagi Allah iaitu nama-nama yang menerangkan sifat-sifat ketuhanan, kesempurnaan, keagungan, dan kesucian-Nya. Terdapat sebuah hadis daripada baginda SAW yang menyatakan maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT itu mempunyai 99 nama selain nama ‘Allah’. Sebahagian para ulama’ menjelaskan bahawa angka 99 itu merujuk kepada nama-nama yang utama dan nyata sebagaimana yang disebutkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Hakikat nama-nama bagi Allah itu tidaklah terhad hanya dengan kadar 99 nama sahaja. Allahu A’lam.

[2] Rujuk bab " فكلّ من كُلّف شرعاً وجبا # عليه أن يعرف ما قد وجبا ", Tuhfatul-Murid ‘ala Jauharah at-Tauhid ( تحفة المريد على جوهرة التوحيد ). Karangan Imam Baajuri.

[3] Diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya.

[4] Ulama Ilmu Kalam atau Ilmu Tauhid.

[5] Antaranya Imam Junaid Baghdadi, Imam Laqqani di dalam “Jauharah”, Imam Abu Ja'far at-Tohawi di dalam "Aqidah Tohawiyah" dan ramai lagi di kalangan para mutaqaddimin

(terdahulu).

[6] Antaranya Imam Ghazali di dalam “al-Iqtishad” dan lain-lain.

[7] sifat-sifat yang diitsbatkan bagi Allah kerana bertujuan untuk menafikan sifat-sifat yang kurang bagi Allah.

[8] Imam Ghazali telah menyelesaikan perbalahan di kalangan para ulama ilmu kalam dalam masalah penggunaan istilah ‘awal’ dan ‘qidam’. Rujuk " الاقتصاد في الاعتقاد " atau al-Iqtishad fi al-I’tiqad ; Bab menyucikan Zat Allah daripada perkara yang tidak layak bagi-Nya ; Allah itu bersifat Maha Awal.

[9] Jahil Murakkab adalah istilah yang digunakan oleh para Manatiqah (ahli Mantiq) dalam menyatakan golongan yang jahil tentang sesuatu perkara, bahkan dia juga tidak tahu bahawa dirinya itu jahil.


Thursday, 18 March 2010

Do'a Mampu Menangkis Takdir?


Merujuk entri saya bertajuk "KEMBALI SEMULA : Menulis atau kepada-Nya?", seorang sahabat di Malaysia bertanya kepada saya, "Tapi, dengan berdo'a kita boleh mengubah apa yang telah tertulis di lembaran itu kan?".


Persoalan ini adalah termasuk daripada perkara furuk atau cabang di dalam permasalahan akidah iaitu persoalan "bolehkah do'a berperanan untuk mengubah apa yang telah ditetapkan atau tercatat di dalam Lauh Mahfudz?".

Ini bermakna, tuntutan untuk memahami hakikatnya adalah khusus untuk golongan yang terpilih daripada kalangan agamawan. Umat Islam secara keseluruhannya hanya wajib beriman bahawa Allah SWT telah memperincikan setiap kehendak-Nya yang suci sejak Azali. Sifat 'berkehendaknya' Allah SWT pula telah terlaksana prosesnya sejak itu samada ianya berhubung kait dengan perkara pada waktu Azali, mahupun selepasnya.

Inilah pendirian kita, Ahlu as-Sunnah wa al-Jamaa'ah samada dari kalangan madzhab Asya'irah[1] mahupun Maturidiyah[2].



Namun sebagaimana yang dinaqalkan atau disampaikan kepada kita pada hari ini daripada pendapat para Ulama' Salaf bagi umat ini, terdapat perbezaan pendapat di kalangan para Ulama' dalam membahaskan tentang "adakah harus bagi seseorang yang telah berada dalam keadaan beriman itu berubah kepada kufur sedangkan ianya telah berada dalam pengetahuan Allah sejak azali?".

Merujuk kepada kata-kata Imam Ibrahim al-Laqqani al-Maaliki rahimahullah[3] :

" فوز السعيد عنده في الأزل # كذا الشقي ثمّ لم ينتقل "

Maksudnya : Kejayaan (kebahagiaan) seseorang yang berbahagia itu di sisi-Nya adalah (sejak) pada waktu azali, dan begitu juga seseorang yang sengsara. Kemudian tidaklah ianya itu berubah.[4]


Ini menunjukkan, seseorang yang akan bahagia di akhirat kelak adalah seseorang yang teahpun Allah tentukan hal keadaan tersebut sejak azali. Samada dia terdiri daripada kalangan orang yang berbuat baik mahupun yang berbuat kemungkaran. Samada dia terdiri daripada kalangan yang berilmu mahupun sebaliknya.

Imam Burhanuddin al-Baajuri asy-Syaafi’e rahimahullah[5] ketika mensyarahkan bait syair di atas berkata :

“Kejayaan seseorang yang berbahagia itu telahpun ditaqdirkan (ditetapkan) pada waktu azali lebih awal dari sudut perihal keadaannya di sisi Allah iaitu di dalam ilmu (pengetahuan) Allah. Maka yang dikehendaki daripada kalimah " عند " (di dalam bait tersebut) adalah pengetahuan”


Beliau berkata lagi :

“ Maka kejayaan orang yang berbahagia dan penderitaan orang yang sengsara itu bukanlah (dinilai) dari aspek keimanan pada seseorang itu samada yang berbahagia mahupun yang sengsara, tetapi sebenarnya berdasarkan apa yang telah lebih awal lagi sejak azali dalam ilmu Allah SWT”[6].


Maka, para Ulama’ telah menggariskan bahawa prinsip tidak berubahnya sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali itu adalah dari sudut ilmu Allah. Seseorang yang bahagia itu adalah sebagaimana yang telah Allah ketahui sejak azali bahawa dia akan bahagia di akhirat kelak begitu juga seseorang yang sengsara. Maka seseorang yang bahagia tidak akan berubah menjadi sengsara, begitu jugalah sebaliknya. Ini kerana jikalau ianya boleh berubah keadaan, nescaya Allah itu tidak mengetahui sejak azali tentang perihal keadaan hamba-hambaNya yang sebenarnya di akhirat kelak. Nescaya akan dinisbahkan “jahil” kepada Allah sedangkan ianya adalah suatu perkara mustahil yang nyata.


Perbezaan pendapat di kalangan para Ulama’ mengenai hakikat berubahnya keadaan itu adalah asas kepada perbezaan pendapat mereka dalam permasalahan adakah perkara yang telah tercatat di dalam Lauh Mahfudz itu juga boleh berubah. Terdapat dua pendapat dalam membincangkan hakikat perubahab hal keadaan ‘bahagia’ ataupun ‘sengsara’ tersebut. Punca ikhtilaf (perbezaan) ini adalah disebabkan takrif ‘kebahagiaan’ dan ‘kesengsaraan’ dari kaca mata mereka. Berikut saya rumuskan mengenai dua pendapat tersebut :

1) Pendapat pertama mentakrifkan kebahagiaan itu adalah mati dalam keadaan beriman sebagaimana diketahui oleh Allah SWT sejak azali. Manakala kesengsaraan pula adalah mati di dalam keadaan kufur sebagaimana yang telah berada dalam lingkungan pengetahuan Allah sejak azali. Ini adalah madzhab Asya’irah.

2) Madzhab kedua pula berpendapat bahawa kebahagiaan dan kesengsaraan itu adalah pada hal keadaan semasa bagi seseorang itu. Jika dia sedang dalam keadaan beriman, maka dia dikira bahagia dan jika berada dalam keadaan kufur maka dia dikira sengsara. Pendapat kedua ini memfokuskan soal perihal keimanan dan kekufuran seseorang pada satu-satu keadaan samada semasa hidup mahupun semasa mati.

Berdasarkan di atas, kita dapat ketahui bahawa perbezaan pendapat di atas hanyalah dari sudut lafadz sahaja dalam masa yang sama kedua-dua madzhab bersepakat bahawa jika seseorang itu mati dalam keadaan beriman, maka dia akan berbahagia di akhirat. Begitulah sebaliknya bagi seseorang yang mati dalam keadaan kufur.


Oleh itu, mereka bersepakat bahawa sesuatu yang telah ditentukan sejak azali sebagaimana yang diketahui oleh Allah SWT itu tidak boleh berubah.


Sebagai menjawab pertanyaan yang dikemukakan, saya katakan :


Telah jelas penerangan mengenai konsep di atas. Ianya adalah prinsip asas akidah kita. Bahkan kita wajib beriman dengan segala ketetapan tersebut. Do’a itu sama sekali tidaklah mengubah apa yang telah Allah ketahui sejak azali apakah hujungnya kisah kita ini. Ke syurgakah atau ke neraka?


Namun, itu tidak bermakna saya menafikan fadhilat berdo’a. Bukankah disebutkan di dalam sebuah hadis yang cukup masyhur :

" الدعاء سلاح المؤمن "

Bermaksud : Doa itu adalah senjata bagi orang mu’min.

Ini juga tidak bermakna bahawa Allah SWT itu tidak bersifat ‘rahmah’ atau penyayang terhadap hamba-hambaNya. Allah telah memberikan sebuah wasilah yang juga dianggap cebisan ritual beribadah kepada-Nya iaitu berdo’a.


Malah, Allah juga memerintahkan kita untuk berdo’a kepada-Nya lalu berfirman :

" ادعوني أستجب لكم "


Bermaksud : Berdo’alah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan.

Berdo’a itu adalah salah satu tanda kehambaan kita kepada Allah.

Berdo’a itu adalah tanda pengharapan kita kepada Tuhan Yang Menciptakan kita.

Kepada-Nya lah kita meletakkan sepenuh harapan.

Sesungguhnya kita ini wujud hanya dengan sebab rahmat-Nya, dan kepada-Nya lah nanti kita akan dikembalikan.


Berdo’a itu adalah suatu tanda rahmat dan kasihnya Allah kepada kita. Suatu ‘usaha’ yang diberikan untuk kita sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Untuk sentiasa berada di dalam daerah keimanan kepada-Nya dan Rasul SAW.

Untuk kita menjauhi segala kemungkaran, menjauhi perkara-perkara yang membuatkan diri kita terhijab daripada hidayah Allah.


Kesimpulan :

Do’a itu adalah perkara yang disyari’atkan. Seruan kepadanya adalah sangat dituntut. Bahkan wajib sebagai tanda perhambaan kita kepada Allah. Namun, ia tetap tidak akan mengubah takdir yang telah Allah tetapkan sejak azali. Allah sudah pun mengetahuinya sejak azali lagi. Malah, jika kita berdo’a pun sebenarnya Allah sudah pun mengetahui semua itu. Semuanya semata-mata kerana kasih-Nya kepada kita. Semata-mata kerana Allah Maha Mengurniakan sesuatu kepada hamba-hamba-Nya. Tugas kita, adalah berdo’a. Bukan menentukan do’a itu dimakbulkan ataupun tidak. Bukan memastikan bahawa do’a kita dapat mengubah takdir yang telah tercatat ataupun tidak. Rasa beruntunglah. Alhamdulillah.

wAllahu A’lam.



[1] Asya’irah adalah kata majmuk bagi perkataan Asy’ariyyah yang bermaksud seseorang yang bermazhab Asy’ari. Madzhab ini diasaskan oleh Imam Abu Hasan al-Asy’ari yang muncul mempertahankan akidah Islam yang suci ini pada kurun ke 4 Hijriyah daripada penyelewengan puak Muktazilah, keterlampauan Syi’ah, dan puak-puak musuh Islam.

[2] Maturidiyah adalah para ulama’ yang mengikut aliran yang diasaskan oleh Imam Abu Mansur al-Maturidiy. Beliau muncul sezaman dengan Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan madzhab ini tidak banyak perbezaan dengan madzhab Asya’irah dari sudut metodologi dan asas pegangan. Kedua-dua madzhab inilah yang dikenali sebagai “Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah”.

[3] Imam Laqqani ialah Ibrahim bin Ibrahim bin Hasan, Abu al-Imdad. Beliau merupakan seorang ahli sufi masyhur berketurunan Mesir yang bermazhab Maliki. (wafat tahun 1041H). Rujuk “al-A’laam” karangan Imam Zirikli.

[4] Rujuk “Jauharah at-Tauhid”, bait ke 47.

[5] Imam Burhanuddin Al-Bajuri ialah Ibrahim bin Muhammad al-Jiizawi bin Ahmad. Bermadzhab Syafi’e di dalam Feqh dan Asy’ari di dalam akidah. Beliau diangkat menjadi Syaikhul-Azhar pada tahun 1263H dan wafat pada tahun 1276H.

[6] Rujuk “Tuhfatul-Murid ‘ala Jauharah at-Tauhid”; Imam Bajuri, Tahqiq Prof. Dr. Ali Jumu’ah, Cetakan ke-4 : 2008 Darul Salam, Kaherah.

Related Posts with Thumbnails