Sunday 18 April 2010

DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor

Semalam 17 April, DYMM Sultan Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim berkenan merasmikan Asrama Pelajar Johor kedua yang terletak di 53, Jalan Dr. Muhammad Mandoor, Raba'ah, Madinah Nasr, Kaherah.

Majlis bermula dengan jamuan tengahari bagi para mahasiswa sebelum ketibaan para tetamu VVIP. Turut hadir bersama baginda Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofia Sultan Idris (bakal Sultanah Johor). Pada jam 2.30 petang (waktu Mesir), rombongan Diraja diiringi delegasi Kerajaan Negeri Johor yang diketuai YAB Dato' Seri Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor bersama isteri. Majlis perasmian belangsung ringkas. Baginda menarik kain tirai (biru) yang menutupi plak perasmian. Bacaan do'a pun dipimpin oleh SS Dato' Mohd Tahrir bin Kiyai Haji Samsuddin, Mufti Johor.


Baginda berehat sebentar di rumah tamu (ground) sebelum berangkat terus ke dewan untuk upacara titah Diraja. Baginda memberi amanat, supaya rajin belajar dan mengambil peluang untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang menuntut ilmu di sini. Saya telah pun membaca titah tersebut sebelum baginda bacakan kerana saya terlibat dalam beberapa urusan berkaitan penyediaan titah baginda dan ucapan MB. Ada beberapa ayat yang tertera di dalam titah tersebut yang pada hemat saya, bukanlah ayat yang sesuai dengan perlembagaan dan kedudukan baginda sebagai Sultan.


Selepas titah baginda disampaikan, Dato' Seri MB memohon perkenan menyampaikan cenderahati kepada DYMM Sultan. Hadiah tersebut MAIJ beli di 'Asfour. Kristal (mahal) berbentuk replika Masjid Nabawi. Saya terfikir kenapa tak tempah replika Masjid Azhar sahaja.


Kemudian giliran Basir, YDP BKPJM memohon perkenan menyampaikan cenderahati kepada baginda. Cenderahati berupa frame besar bertulisan khat yang disediakan oleh Ustaz Mubarak. Cantik. Tahniah Mubarak, hasil tangan enta akan berada di Istana.


Kemudian majlis santapan pun bermula. Kemudian nasyid. Kemudian baginda berkenan untuk berangkat pulang ke hotel Grand Hyatt. Selesai.


Daulat Tuanku. Kami sanjung dan hormati pemimpin kami. Atas perlembagaan, baginda Sultan merupakan ketua agama. Kami muliakan kedudukan itu kerana Allah.


Saya sekadar catatkan ringkas sahaja mengenai majlis tersebut.

Bukan nak cerita sangat pun.


Cuma nak jelaskan, sekalipun majlis tersebut merupakan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor, tetapi pekerja-pekerjanya adalah para mahasiswa.


Bila anda inginkan kemasyhuran, anda bermulut manis untuk kami memberikan kerjasama.

Bila anda utamakan kepentingan anda, anda sanggup ragut waktu kuliah kami. Anda sanggup gunakan tenaga kami. Anda sanggup itu dan ini.


Tetapi,

Bila ada yang gagal dalam peperiksaan, lidah anda benar-benar ringan mengutuk kami.

Bila kami mohon zakat, anda terlalu berkira dengan kami.

Bila kami cuba bersuara, anda cuba mengancam kami.


Saya terfikir. Malah pernah bercadang, untuk sangat berkira dengan kamu.

Bagaimana, kamu sudah bersedia?

Baru Kini


BARU KINI


Baru kini ku kenali dia,

Dahulu ku gerun untuk memandangnya,

Bercucuran keringat, “hilangkan dia dari pandanganku!!”

Kecut perut untuk mendengar khabar tentang dia,


Purnama lalu,

Puas aku menjeling manja padanya,

Hati kecilku disadur rindu,

Rindu menyelami lautan seni hikmahnya,


Dikau nan indah di mata mereka,

Ikhwan Baginda tercinta,

Khulafa’ bak panglima setia pujangga,

Ke mana sahaja mereka pergi,


Dikau mereka gendong bersama,

Tak mahu terlepas walau seketika,

Sungguh para pendekar yang empat itu,

Biar serasi bersama alam hukum,

Namun dikaulah kekasih pertama,


Sinar mega yang dikau pancarkan,

Irama ceritera cinta yang didendangkan,

Buatku sedar,

Cukuplah bagiku dengan percaya,


Tidak perlu ku tagih daripada kalam mereka,

Cendekiawan pemuja bukti yang fana,

Untuk bersamamu,

Terbang ke dimensi itu,

Ruang keasyikan cinta pada baginda,


Melalui dikau, mutiara sunnah perkasa,

Ku rindu, ku cinta,

Padamu pengubat lara,


Sambutlah salam cintaku,

Demi redha-Nya,

Kerana baru kini,

Aku mengenalimu.


03 : 15 p.m. , Isnin, 08 Rabi’ul Awwal 1431H,

22 Februari 2010

Hayyu Asyir, Madinah Nasr, Kaherah.



Puisi ini saya tujukan buat subjek hadith dan ulum hadith. Tiada kaitan dengan mana-mana individu.


Related Posts with Thumbnails