Sunday 14 March 2010

KEMBALI SEMULA : Menulis atau kepada-Nya?


Sebulan menyepi. Bukan sebab kempen ‘satu bulan, satu artikel’. Cuma, keghairahan menaip dan menulis saya masih tidak mahu menyinggah ke laman blog ini. Biarpun cuaca di sini sudah mulai panas ( musim bunga), namun blog ini masih ‘sejuk’.

Alhamdulillah, hari ini saya diberi peluang untuk mengisi ruang dingin ini. Saya kembali menulis. Maka saya fikir tajuk yang sesuai adalah berkisarkan tentang “kembali”.

Pelbagai isu telah berlaku, yang terus menerus memenuhi episod kehidupan kita di dunia ini.

Kesemuanya telah ditetapkan sejak ‘itu’. Saya tidak boleh manamakannya sebagai ‘waktu’. Kerana ianya tidak diiktibarkan sebegitu oleh para Ulama’ Tauhid. Mereka yang mulia telah menamakannya sebagai ‘sejak azali’, atau sering diistilahkan oleh mereka dengan ungkapan " فيما يزال " bermaksud pada ketika menghilang atau musnah. Terdapat perselisihan pendapat di kalangan pakar-pakar Ilmu Tauhid dalam memberikan takrif mengenai kalimah “azali”.

Sebahagian para Ulama’ mendefinisikan sesuatu yang bersifat ‘azali’ itu adalah “sesuatu yang tidak mempunyai awal bagi kewujudannya ataupun ketiadaannya”. Sebahagian lagi pula menambah “ . . . samada ianya berdiri dengan dirinya sendiri mahupun dengan sebab selainnya”. Pendapat kedua ini dinaqalkan oleh Imam Ibrahim al-Bajuri daripada pendapat Imam Sa’duddin at-Taftaazaani.[1]

- gambar hiasan -


Para pembaca yang tidak mempunyai asas di dalam bahasa arab, anda boleh merujuk sebarang kitab mengenai perbahasan tauhid di dalam Bahasa Malaysia (baca : Bahasa Melayu) di bawah tajuk mengenai sifat qidam (sedia ada) bagi Allah SWT, atau sifat salbiyyah, atau perbahasan yang berkaitan. Perhatian, anda tidak akan menjumpai perbahasan mengenainya di dalam buku-buku yang dikarang oleh mereka yang beraliran wahabi atau seumpamanya!

* * * * * * *

Bukan tujuan saya untuk menceritakan tentang ‘azali’ itu sendiri di sini, tetapi sekadar untuk mengutarakan tentang prinsip akidah kita di dalam mengembalikan kesemua urusan itu kepada Allah. Segala yang berlaku dalam kehidupan kita samada yang telah berlaku, atau yang sedang berlaku, bahkan yang akan berlaku sekalipun kesemuanya telah tercatat di ‘lembaran itu’. Al-Qur’an menamakannya sebagai " لوح محفوظ " atau ‘Lauh Mahfudz’.

Di situ tercatat kesemuanya. Sejak azali itu.

Bila anda ‘berenang-berenang’ ke persada rahim bonda, bila anda dilahirkan, bagaimana ianya berlaku, di mana, siapa yang menyambut ‘ketibaan’ anda, kesemuanya sudah tercatat.

Islam adalah sebuah agama yang suci. Cukup suci. Ia mendidik kita untuk sentiasa kembali kepada-Nya biarpun kita masih hidup di alam yang fana’ ini. Mendidik jiwa kita untuk ‘pulang’ dan sentiasa ‘memulangkan’segala aspek urusan kita kepada Allah. Al-Qur’an dengan jelas juga menerangkan berkali-kali mengenai hakikat ini.

ثمّ إليه تُرجَعون

Bermaksud : Kemudian kepada-Nya lah kalian (akan) dikembalikan.[2]

Sebagai seorang muslim, kita hendaklah beriman bahawa ianya adalah pasti. Kenyataan ini sekaligus untuk mengingatkan saya dan anda bahawa Allah SWT Maha Agung dengan sifat-sifat kesempurnaan-Nya.

Allah bersifat dengan qudrah iaitu berkuasa. Kekuasaan-Nya itu tidak dibatasi dengan apa-apa jua sekalipun. Segalanya mampu dilakukan oleh-Nya.

Manakala perkara-perkara yang mustahil pula tidak dianggap sebagai perkara-perkara yang di luar kemampuan Allah. Seperti, wujudnya Tuhan selain Allah. Ini tidak termasuk dalam perbahasan mengenai sifat qudrah bagi Allah SWT kerana sifat qudrah mempunyai ruang skop ta’alluqnya tersendiri. Saya tidak berniat untuk menyatakannya di sini. Ia memerlukan perbincangan secara khusus.

Prinsip akidah yang menyatakan kewajipan beriman bahawa Allah SWT bersifat dengan qudrah, sekaligus menepati didikan Al-Qur’an :

و الله على كلّ شيءٍ قدير

Bermaksud : (Dan sedangkan) Allah itu Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.[3]

Justeru, ini menunjukkan seni ilmu Tauhid yang diasaskan oleh Imam Abu Hasan al-Asy’ari rahimahullah menepati ajaran al-Qur’an dan As-Sunnah. Tidak langsung menyimpang daripada ajaran Rasulullah SAW, bahkan beliau telah dianggap khadam bagi perbincangan akidah oleh para ulama selepas kurun ke 4 Hijriyah, di mana menunjukkan aliran yang disusun beliau ini amat terperinci dan lengkap menyentuh kesemua aspek di dalam bab akidah Islam.

Selain itu, Allah SWT juga bersifat dengan sifat berkehendak ataupun iradah. Kehendak Allah pasti tertunai. Tiada sesuatu pun yang bisa menghalangnya. Sepertimana sifat qudrah, sifat ini juga mempunyai ruang skop ta’alluqnya yang khusus. Berkehendaknya Allah SWT itu adalah dalam kapasiti Allah layak untuk berkehendak sebegitu sejak azali lagi, bahkan Allah telah pun mengkhususkan perkara-perkara yang dikehendaki oleh-Nya itu sejak azali. Ini bermaksud sifat berkehendaknya Allah itu meliputi perkara-perkara yang harus sahaja. Adapun perkara wajib dan mustahil untuk berlaku itu bukanlah di bawah perbahasan mengenai sifat ini. Ini kerana tidak mungkin Allah berkehendak untuk mewujudkan sesuatu perkara yang mustahil bagi-Nya seperti sekutu bagi-Nya, dan mustahil juga bagi Allah untuk berkehendak meniadakan perkara yang wajib bagi-Nya seperti keesaan-Nya.

Pembaca yang budiman,

Sudah jelas di sini, bahawa kehidupan kita ini tidak langsung akan terlepas daripada kekuasaan dan kehendak Allah. Tidak sama sekali walau sekecil-kecil perkara. Saya sekadar membangkitkan mengenai dua sahaja daripada sifat wajib bagi Allah SWT.

Jikalau hakikat ini sudahpun kita ketahui. Jikalau hakikat bahawa kembalinya kita kepada Allah adalah suatu perkara yang pasti, bukankah kembalinya kita kepada-Nya dalam keadaan yang baik itu adalah lebih mulia? Bukankah kembalinya kita dalam keadaan bersedia itu lebih mulia? Bukankah kembalinya kita dalam keadaan benar-benar suci dari sudut pengabdian kita kepada-Nya itu lebih mulia?

* * * * * * *

SAYU MENDENGAR KHABAR INI

Belum seminggu kita menangisi pemergian beliau. Tanggal 10 Mac 2010 bersamaan 24 Rabi’ul Awwal 1431 H, pagi Rabu itu membuatkan dunia al-azhar dan para penuntutnya bersedih. Bukan bersedih kerana tidak redha akan ketentuan Allah yang telahpun ditetapkan sejak azali itu, tetapi bersedih kerana pemergian seorang ulama agung dunia Islam, seorang pemimpin berpekerti mulia, seorang mufassir (pentafsir Al-Qur’an), seorang pendakwah yang sejati, seorang Syaikhul-Azhar.


Prof. Dr. Muhammad Sayyid Thontowi rahimahullah


Para muhaddithin meriwayatkan sebuah hadis sohih :

إنّ الله لا ينتزع العلم انتزاعاً و لكنّ ينتزعه بقبض العلماء

Bermaksud : Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut (mengangkat) ilmu itu dengan menyentapnya sebegitu, tetapi Allah akan mencabutnya dengan (cara) mencabut (nyawa) ulama’.

Telah diriwayatkan daripada Saiyidina Abu Umamah al-Baahiliy, berkata : Bahawasanya baginda Nabi SAW telah bersabda :

خُذوا العلم قبل أن يذهبَ العلم

Bermaksud : Ambillah ilmu sebelum ilmu itu pergi

Lalu para sahabat RA pun berkata :

يا رسول الله , كيف يذهب العلم و فينا كتاب الله و سنّة رسوله ؟

Bermaksud : Wahai Rasulallah, bagaimanakah ilmu itu (boleh) pergi sedangkan bersama-sama kami ada al-Qur’an dan Sunnah Rasul-Nya ?

(Lihat, para sahabat pada waktu itu juga menyangka hakikat ilmu itu hanya pada dalil dan sumber yang ada. Kemudian baginda SAW pun menegur mereka).

Saiyidina Abu Umamah berkata lagi : Lalu baginda SAW pun marah yang mana Allah SWT tidaklah memarahi baginda. Kemudian baginda SAW bersabda :

ثقلتكم أمهاتكم لقد ضلّت اليهود و النصارى و فيهم التوراة و الإنجيل

Bermaksud : Para ibu kamu (pasti) merasa berat akan kamu ! sesungguhnya Yahudi dan Nasrani telahpun sesat sedangkan bersama-sama mereka itu ada kitab Taurat dan Injil !

Baginda bersabda lagi :

إنّ ذهاب العلم أن يذهبَ حَمَلتُه

Bermaksud : Sesungguhnya perginya ilmu itu adalah dengan perginya (matinya) para pembawanya (para Ulama’).[4]

Beberapa petikan hadis di atas menunjukkan keutamaan ulama’ dalam kelangsungan penyampaian dakwah dan tersebarnya ilmu Islam ke seluruh dunia. Baginda SAW menegaskan tentang kedudukan para ulama’ di sisi umat ini. Keterikatan ilmu agama ini dengan para ulama’ melampaui bidalan kata yang ada untuk menggambarkan keserasian antara keduanya.

Kini, kita khususnya penuntut di al-Azhar masih bersedih dengan pemergian Prof. Dr. Syaikh Muhammad Sayyid Thontowi. Syaikhul-Azhar ke 43.

Beliau rahimahullah diangkat menjadi Syaikhul-Azhar pada tahun 1996 iaitu selepas kewafatan Syaikh Jaadul-Haq Ali Jaadul-Haq pada peristiwa pembunuhan Presiden Mesir, Anwar Saadat.

Syaikhul-Azhar adalah merupakan jawatan yang tertinggi di dalam institusi al-Azhar. Malah, kedudukannya boleh diibaratkan setanding dengan kedudukan Presiden Republik Arab Mesir. Bezanya beliau berada di lapangan ilmu Islam manakala Presiden pula di lapangan siyasah atau politik dan pentadbiran negara. Kedudukan Syaikhul-Azhar juga dikatakan setanding dengan kedudukan seorang Presiden Kesatuan Ulama Sedunia yang disandang oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi pada masa ini. Ini kerana jawatan itu sering kali diisi oleh para ulama yang dicorak keilmuannya di bawah didikan al-Azhar.

Al-Azhar merupakan sebuah institusi pendidikan dan keilmuan Islam yang muncul sejak berkurun lamanya. Dahulu, al-Azhar hanyalah sebuah pusat pendidikan ilmu Islam yang beroperasi di Masjid Al-Azhar. Pembinaannya adalah khusus bertujuan untuk menjadikannya sebagai pusat perkembangan ilmu Islam yang agung.

Selepas era kendalian Syaikh Muhammad Abduh sebagai Syaikhul-Azhar, pengajian peringkat kesarjanaan al-Azhar diperkemaskan dengan mengkhususkan pengajian peringkat universiti di bangunan khas. Maka bermulalah perkembangan al-Azhar sebagai universiti. Seterusnya, al-Azhar juga mengendalikan sekolah-sekolah agama peringkat rendah dan menengah. Biarpun begitu, pengajian di Masjid Al-Azhar masih diteruskan sehingga kini sepertimana di zaman awal penubuhannya. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa al-Azhar pernah menjadi pusat penyebaran dakyah golongan syi’ah ketika kerajaan Fatimiyyah memerintah di Bandar Kaherah. Namun, selepas kebangkitan empayar Sultan Solahuddin al-Ayyubi pengaruh Syi’ah telah lenyap lalu digantikan dengan fahaman Sunni yang terus bertapak dengan kukuh di bumi al-Azhar.

Kesemuanya yang terdiri daripada Masjid al-Azhar, Universiti al-Azhar, sekolah-sekolah menengah dan rendah, Institusi Fatwa al-Azhar, Badan Penyeledikan Ilmiah al-Azhar,dan Lembaga Para Ulama al-Azhar (Masyikhatul-Azhar) adalah di bawah sebuah jawatan tertinggi di dalam al-Azhar iaitu Syaikhul-Azhar.

Semoga Syaikh Muhammad Sayyid Thontowi rahimahullah bersemadi dengan lena dan bahagia di sana. Beruntungnya beliau dapat ‘berjiran’ dengan para sahabat dan tabi’ien. Beruntungnya beliau ‘tidur’ berhampiran dengan baginda SAW. Ya Allah, kurniakanlah kami husnul-khotimah dan usahlah kiranya ditamatkan kami ini dengan suu’ul-khotimah. Amin.

Al-Fatihah buat beliau.


[1] Rujuk kitab " تحفة المريد على جوهرة التوحيد " atau “Tuhfatu al-Murid ‘ala Jauharati at-Tauhid” ; Imam Ibrahim al-Bajuri.

[2] Surah Al-Baqarah, 2 : 28

[3] Surah at-Taubah 9 : 39

[4] Hadis daripada riwayat Saiyidina Abu Umamah ini diriwayatkan oleh Imam Tobaraani, Imam Daarimi di dalam kitab “sunan” dan selain mereka berdua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails