Saturday 5 December 2009

JENTIKAN RABBANI



Selepas hampir dua minggu kuliah di Universiti Al-Azhar ditawaquf (ditutup), hari ini beberapa buah kelas telah mula kembali rancak bermuhadharah (syarahan). Syu'un kuliah pun dah beroperasi semula. Bezanya, hari ini tidak seriuh biasanya dengan suara kerani-kerani yang ligat melayani karenah para mahasiswa yang membuat urusan pendaftaran dan lain-lain. Sepinya umpama Raudhah yang mulia.

Memori "Barakah Umhaj 2004" menyinggah seketika. Rasa syahdu ketika menjejaki 'taman nabawiy' itu tak mungkin saya lupa. Bau harum di sekitar maqam baginda sollallahu 'alaihi wasallam menyentap jiwa.

Seakan ingin sekali saya gunakan peruntukan daripada bantuan zakat (dermasiswa) MAIJ untuk menziarahi baginda sollallahu 'alaihi wasallam buat kesekian kalinya.

Namun, keutamaan adalah keutamaan. Lantas saya hanya mampu berdoa agar diberi kesempatan lagi untuk ke sana. Moga dipertemukan lagi dengan baginda. Allahumma Amin.
Sungguh, saya merindui detik-detik itu.

*******

Tak sampai beberapa ketika, saya sedar doa saya tadi telah dimakbulkan.

Seperti yang dirancang, saya teringin untuk sertai kelas pengajian kitab "Sohih al-Bukhari" yang dikendalikan oleh Syaikh Yusri hafidzohullah di masjid al-Azhar. Setiap hari sabtu, jam 10.15 - 10.30 pagi hingga waktu Dzohor.

Alhamdulillah, doa yang saya pohon tadi dek rasa rindukan Raudhah rupanya diperkenankan. Belum berkemampuan nak ke sana, dapat dengar butiran jawami-'ul-kalim baginda sollallahu 'alaihi wasallam pun jadi lah. Terima kasih ya Allah. Terubat juga rasa rindu.

Hari ini Syaikh Yusri menyentuh hadis-hadis di dalam kitab ini mengenai Jihad.
Di antara pengajaran yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca sekalian, mengikut apa yang saya rumuskan daripada syarahan Syaikh Yusri ialah :
1. Setiap peperangan yang disertai Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam adalah peperangan yang membawa rahmat. membawa simbolik kasing sayang. bukan berperang dengan semangat ingin menjajah mahupun ingin menang. Jauh sekali ingin menindas yang lemah.
Anda bayangkan, banyakkan bezanya dengan senario perang pada hari ini?

2. Sebaik-baik do'a yang dipohon adalah memohon kepada Allah agar dikurniakan 'afiyah.

3. Dalam berjuang di medan peperangan, seorang tentera harus meminta izin daripada ketua pasukan untuk ta'adzzur (mengundur diri) daripada peperangan. Ianya dibolehkan HANYA jika terdapat keudzuran seperti baru berkahwin dan urusan membina rumah yang belum selesai. Sebagaimana peristiwa Amir-il-mu'minin Saiyidina 'Umar ibn al-Khattab rodhiyallahu 'anhu yang meminta izin daripada Rasulillah untuk ta'adzzur ketika peperangan Mu'tah dan Tabuk. Begitu juga halnya bagi Saiyidina Jaabir rodhiyallahu 'anhu yang diizinkan pulang kerana beliau baru sahaja berkahwin.
Pun begitu, harus diingat. Izin itu diberikan atas sebab yang diiktiraf syarak. Jika seseorang itu berundur diri disebabkan perasaan takut kepada musuh atau sifat nifaq (kemunafikan), maka ia dilarang bahkan ditempelak oleh Allah di dalam surah at-Taubah.
Begitu juga kita ini. Tak kira dalam persatuan apa pun, pergerakan apa jua pun, sematkanlah didikan yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya ini di dalam jiwa kita. Jika terdapat keudzuran sekalipun yang menyebabkan kita 'berehat' seketika, hendaklah meminta izin daripada ketua. Muhasabah bersamalah.
Hebat Syaikh Yusri. Allahummaftah 'alaihi.



Tidak hanya selesai di situ.

Seusai solat zohor, saya bergegas ke perkampungan Qaitbay, Darrasah (berdekatan dengan kawasan Dar-ul-Ifta' Mesir). Rumah Syaikh Abdul Adzhim hafidzhohullah, guru al-Qur'an kami. Sudah berkali-kali termimpikan beliau. Hati jadi semakin tidak tenang selagi tak bersua muka. Sejak pulang daripada bercuti, saya belum bertemu lagi dengan beliau. Ziarah pun belum apatah lagi hendak menyambung semula 'mengaji' dan 'dipukul'.

Menjadi kebiasaan kami talaamiidzuhu (anak-anak murid beliau) apabila bercerita tentang mengaji dengan Syaikh Abdul Adzhim, tidak sah kalau tidak bercerita tentang "fukul gamid" (pukulan keras) daripada Syaikh untuk anak-anak muridnya yang lalai ketika memperdengarkan bacaan al-Qur'an. Termasuk saya.

Tujuan asalnya hanya ingin menziarahi beliau. Namun, oleh kerana cintanya beliau kepada al-Quran yang terlalu tinggi, beliau minta saya perdengarkan bacaan al-Qur'an juga. Beliau sering mendahulukan al-Qur'an sebelum yang lain-lainnya. Itulah guru kami.

Apa yang membuatkan saya rasa terharu bercampur ta'ajjub, beliau meminta saya membaca mana-mana ayat yang saya kehendaki daripada al-Qur'an. Lantas saya pun turuti. Tanpa disangka, ayat yang saya pilih secara rawak itu juga menyentuh ayat 62, Surah An-Nur, Juzuk ke-18. Ayat yang menjadi tajuk perbincangan Syaikhuna Yusri semasa di kelas pengajian Sohih al-Bukhari tadi. Allahu Allah..

Bukan ayat yang sama menjadi persoalannya. Tetapi Tarbiyah Rabbaniyyah (Didikan Allah) yang menjentik jiwa saya ketika itu. Umpama 'teguran' daripada Allah buat saya agar sentiasa mengamalkan apa yang dipelajari, peringatan itu diutus melalui ulama rabbani.

Menurut Ulama', jika terdapat ayat-ayat al-Qur'an atau kisah-kisah yang diulang, ia membawa mesej penekanan terhadap kesahihannya, seperti pengulangan cerita mengenai Hari Qiamat dalam surah-surah di dalam al-Qur'an yang menekankan tentang kesahihan akan berlakunya hari itu, atau penekanan terhadap kepentingannya seperti pengulangan ayat yang terdapat di dalam Surah As-Syarh (A lam Nasyrah...). Sebahagian Ulama' juga menamakan surah ini sebagai "Al-Insyirah" kerana kandungan makna ayat-ayatnya.

Begitu juga perihalnya dalam hadis Nabi sollallahu 'alaihi wasallam. Baginda sebagaimana diriwayatkan kepada kita, sering mengulangi sebanyak tiga kali ucapan baginda. Agar memudahkan para sahabat menghafal dan memahami maksud daripada perkataan baginda lantas mengambil perhatian tentang pengajarannya.

Maka saya kira kisah saya ini juga boleh dianggap begitu hampir serupa.

Syukur padaMu ya Allah atas nikmat ini.

Lihat, peringatan itu disampaikan melalui Ulama' yang mana ilmu mereka datang daripada punca yang satu. Maka pengajaran yang diberikan tiada tanaqudh (pertentangan). Bahkan saling lengkap melengkapi. Satunya menghurai kandungan dan pengajaran ayat, dan satunya lagi mengukuhkan pengajaran tersebut. Allahumma laK-al-hamdu.

Jika bukan kerana menadah ilmu di kelas pengajian Syaikh Yusri, jika bukan kerana hanya ingin menziarahi Syaikh Abdul Adzhim...

Ya Allah, rahmatilah guru-guru kami. Peliharalah Ulama' kami. Kami masih dahagakan curahan ilmu mereka. Dengan kebenaran Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam, bantulah kami untuk rasa bersyukur kepada-Mu dengan lebih gagah dan tabah menadah ilmu daripada Ulama Rabbani. Allahumma Amin.

Tambahan :
1. Untung Syaikh Yusri tiada panggilan kecemasan hari ini. Dapat juga ikut kelas Sohih al-Bukhari. Beliau merupakan seorang Pakar Bedah di salah sebuah hospital di Kaherah. Ini baru layak digelar Ulama Profesional kan? bukan protaz ! jauh sekali yang jadi-jadian.

2. Syu'un yang dimaksudkan di atas adalah Pejabat Urusan Hal Ehwal Pelajar di bangunan Kuliah, Universiti Al-Azhar.

3. Raudhah di atas bukanlah nama orang. Bukan pula insan tertentu. Tapi dikhususkan buat kawasan perkarangan maqam baginda nabi sollallahu 'alaihi wasallam yang mulia di sebelah hadapan Masjid Nabawi.

4. Jawami-'ul-kalim di atas bermaksud himpunan perkataan yang memiliki makna yang menyeluruh. Ini salah satu keistimewaan yang Allah kurniakan buat kekasih-Nya sollallahu 'alaihi wasallam tanpa ada seorang nabi pun yang mendapatkannya. Allahumma solli 'alaihi wa 'ala aalihi.

Thursday 3 December 2009

Di Sini Aku Bermula



السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


الحمد لله ربّ العالمين حمداً كثيراً طيّباً مباركاً فيه ثمّ الحمد لله الذى تكفّل بحفظ هذا الدين إلى يوم القيامة, فأرسل إلينا سيّدَنا محمّداً نبيّ الرحمة, ثمّ اصطفى من عباده الذين يحفظون قرءانه بالجمع و الكتابة, فبذلوا جهدهم فى ذلك بالتّربية النبوية, فرضي الله عنهم السّادات الأخيار هم الصّحابة, و الصّلاة و السلام الأتمّان الأكملان على حبيبنا المصطفى و رسولنا المجتبى سيّدنا محمّد صاحبَ الشفاعة, و على آل بيته سفينة النجاة, و أصحابه منبع الهداية و تابعيهم بإحسان حتّى تأتيَنا السّاعة
... أمّا بعد
Imam Bukhari telah berkata di dalam kitab sohih beliau :
حَدَّثَنَا ‏ ‏الْحُمَيْدِيُّ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ ‏ ‏قَالَ حَدَّثَنَا ‏ ‏سُفْيَانُ ‏ ‏قَالَ حَدَّثَنَا ‏ ‏يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيُّ ‏ ‏قَالَ أَخْبَرَنِي ‏ ‏مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ ‏ ‏أَنَّهُ سَمِعَ ‏ ‏عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ ‏ ‏يَقُولُ سَمِعْتُ ‏ ‏عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ‏ ‏عَلَى الْمِنْبَرِ ‏قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَقُولُ ‏ ‏إِنَّمَا الْأَعْمَالُ ‏ ‏بِالنِّيَّاتِ ‏ ‏وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا ‏ ‏يُصِيبُهَا ‏ ‏أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
أو كما قال رسول الله صلّى الله عليه و سلّم
Terjemahannya : Saiyiduna Umar pernah berkata : Aku telah mendengar Rasulallah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda : "Sesungguhnya segala amalan itu bermula dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap perkara itu (bergantung kepada) apa yang diniatkannya, maka barangsiapa hijrahnya itu kepada dunia yang ingin diperolehinya atau kepada wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah menuju kepada perkara tersebut".
Para Imam bagi "Kitab Hadis Yang Enam" (Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tirmidzi, Imam Abu Dawud, Imam Nasa'ie, dan Imam Ibnu Majah) telah meriwayatkan hadis ini di dalam karya mereka. Lafadz hadis di atas pula merupakan lafadz yang diriwayatkan oleh Sultan-ul-muhaddisin (Imam Bukhari rahimahullah) di dalam kitab sohihnya. Hadis di atas ini disusun oleh beliau sebagai hadis pertama bagi bab pertama di dalam kitab sohihnya. Hadis ini juga dimuatkan di dalam karya masyhur al-Imam an-Nawawi berjudul "الأربعين النّوويّة".

Sidang pembaca yang budiman,
Sebagai orang yang baru di dalam dunia penulisan blog, saya sering be
rangan-angan untuk memenuhkan ruangan posting blog ini dengan berbagai artikel menarik. Samada ia menyentuh secara langsung mengenai soal displin ilmu Islam atau aspek yang lainnya. Sejak beberapa hari ini, minda saya ibarat "tayar tramco" (van pengangkutan awam di mesir) yang tidak kenal erti perlahan ketika berputar dek kerana merancang apa entri pertama yang perlu saya isi di ruangan 'posting' blog ini. Maklumlah, kali pertama ada blog sendiri.

Sering juga menelaah beberapa buah kitab di rumah.
Bertanya beberapa orang rakan. Rasionalnya kerana hendak mencari idea, tajuk apakah yang sesuai saya isikan sebagai entri pertama di blog ini. Dengan izin Allah, saya teringatkan dua buah kitab yang dikarang oleh guru kami, Prof. Dr. Syaikh Redha Zakariyya hafidzohullah, pensyarah Jabatan Hadith dan Ulum Hadith, dalam kuliah kami. Yang pertama berjudul "مفتاح المبتدئين في تخريج حديث خاتم النّبيّين", sebuah kitab silibus kami bagi subjek "Takhrij" dan yang kedua pula berjudul "الإرشاد إلى كيفية دراسة الإسناد", kitab silibus kami bagi subjek "Dirasah Asanid".

Di dalam kedua-dua buah kitab tersebut, Syaikh Redha telah sengaja meletakkan hadis di atas pada muka surat pertama bagi kedua-dua kitab tersebut mendahului muqaddimahnya (kata pengantar).

Mungkin ada sebahagian daripada kita akan berkata, "mungkin sebab syaikh pakar dalam bidang hadis, maka beliau susun begitu" dan mungkin ada yang mempersoal, "bukankah lebih baik dimulakan dengan ayat al-Qur'an? kedudukann
ya lebih tinggi berbanding hadis".

Namun, saya juga suka bertanya kembali, "bukankah mustahil bahkan haram seorang yang alim itu melakukan sesuatu tanpa didasari dengan ilmu? tanpa ada nilainya di sisi sy
arak?". Ustaz Hairul nizam pun sering mengungkapkan begitu di kelas-kelas pengajian beliau.

Bagi saya, tiada masalah samada hendak memulakan sesuatu karya itu dengan ayat al-Qur'an atau al-Hadis. Baik yang ilmiah mahupun sekadar bersifat 'sembang-sembang'. Juga tiada masalah jika hanya merakamkan ucapan 'basmalah' dan 'hamdalah' sahaja di awal sesuatu karya kerana itu semuanya mempunyai sandaran di sisi agama kita. Selama ia tidak menyalahi nas yang sorih (nyata) daripada al-Quran dan as-Sunnah, tidak mengingkari ijma' (persepakatan secara total di kalangan ulama'), dan tidak menyalahi prinsip akidah yang suci, maka silakan sahaja. Apa yang lebih penting adalah mencari titisan hikmah di sebalik setiap perkara yang berlaku itu.

Menurut al-Imam al-Khothib al-Baghdadi di dalam kitabnya berjudul "الجامع لأخلاق الراوي و آداب السامع" : "Sesiapa yang ingin mengarang kitab, maka hendaklah dia memulakan (karangan) dengan hadis ini ".

Manakala al-Imam an-Nawawi juga menyatakan : "Sesungguhnya (di antara) hikmah memulakan sesuatu (termasuk penulisan) dengan hadis yang mulia ini adalah untuk memberi peringatan kepada para pelajar untuk memperbet
ulkan niat, justeru begitulah yang dilaksanakan oleh al-Imam al-Bukhari apabila memulakan penyusunan hadis di dalam kitab sohihnya dengan hadis ini".
Rujuk kitab beliau berjudul "المنهاج شرح صحيح مسلم بن الحجّاج".

Lihat, kehebatan para ulama men'sunnah'kan setiap tindakan mereka termasuklah mengarang kitab. Pengajaran melalui hadis Saiyidina 'Umar di atas berhubungkait dengan permasalahan niat benar-benar dihayati oleh para ulama. Ini merupakan suatu penjelasan bahawa fokus pengajaran daripada hadis di atas yang berkisar tentang niat bukanlah bersifat khusus untuk peristiwa hijrah ataupun seumpamanya sahaja, malah pada setiap amalan. Sebagai menolak dakwaan bahawa lafadz "إنّما الأعمال بالنّيّات" adalah lafadz 'am yang telah ditakhsiskan dengan hadis "...فمن كانت هجرته", kita naqalkan daripada pendapat ulama Usul Feqh bahawasanya "Pengajaran diambil daripada keumuman sesuatu lafadz, bukan daripada sebab yang khusus".

Apa yang ingin saya utarakan di sini adalah sebagaimana saranan daripada al-Imam al-Khothib al-Baghdadi, sebagaimana hikmah yang disingkap oleh al-Imam an-Nawawi, dan juga sebagaimana teladan yang cuba diperagakan oleh Prof. Dr. Redha Zakariyya di dalam manhaj penulisan beliau, saya juga berharap agar dapat berpeluang menumpang sedikit ruang yang ada bagi menikmati renjisan tarbiyah nabawiyah melalui penulisan di blog ini.

Moga pengajaran "memperbet
ulkan niat" ini sentiasa mendakapi setiap entri yang akan dimasukkan ke dalam blog ini. Dan selama entri yang dimasukkan itu disertai dengan pengajaran hadis tersebut, selama itulah harapnya setiap penulisan yang terdapat di dalam blog ini masih berpaksikan ajaran baginda nabi sollallahu 'alaihi wasallam serta jauh daripada bibit-bibit yang membawa kepada kemungkaran Allah.

Dengan itu, saya al-faqir ila Allah, Muhammad Syafiq Safwan bin Harith memohon tunjuk ajar daripada sidang pembaca sekalian, cadangan dan buah fikiran untuk meningkatkan lagi mutu penulisan saya di dalam blog ini. Semoga penulisan ini dapat merancakkan irama dakwah di pentas siber.

Sekian, dalam menyelami semangat penyucian jiwa di persada Dzulhijjah sebelum bersinar-sinar menyambut kemuliaan "Hijrah" di kanvas Muharram. w-Allahu A'lam.


Rujukan :
1) "Al-Jami' As-Sohih Al-Musnad min Hadits Rasulillah sollallahu 'alaihi wasallam wa Sunanihi wa Ayyamihi" atau "Sohih al-Bukhari"; al-Imam Abu 'Abdillah Muhammad bin Isma'il al-Bukhari (wafat 256H) ; bilangan hadis 1:1

2) "Al-Irsyad ila Kaifiyati Diraasat-il-Isnad" ; Prof. Dr. Syaikh Redha Zakariyya



Related Posts with Thumbnails