Wednesday 10 February 2010

PERAHU 'IJAZAH' SEDANG BERLAYAR



Kami penuntut di universiti al-Azhar masih berada dalam tempoh bercuti. Hanya cuti kuliah. Kerana masing-masing telah sibuk mengatur jadual peribadi untuk diisi dengan bermacam-macam aktiviti. Ada yang sibuk berkelah di ma'ridh (berlaku khilaf lafdzi padanya), ekspo antarabangsa bagi jualan kitab. Ada yang sibuk ke kelas-kelas pengajian kitab turath. Ada pula jadual harian mereka sudah dipenuhi dengan
tugas-tugas bepersatuan, terutama para AJKT dan BP.

Ada juga yang sibuk mengemas barangan masing-masing untuk dibawa pulang ke Malaysia. Antaranya ahli bait penulis, Ustaz Mohd Yazid bin Pardi namanya. Tak kurang juga yang teruja mengadun kuih muih tertentu seperti keria keledek (baca : keria yanga keras). Hehe.

Terpulang masing-masing. Selama ia memberi manfaat samada kepada diri ataupun kepada orang lain, silakan sahaja. Jika ia memberi manfaat kepada orang lain, itulah sebaik-baiknya malah telah menuruti ajaran murni baginda nabi sollallahu 'alaihi wasallam.

"Sebaik-baik manusia itu, adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain".
(riwayat secara makna)

Musim ma'ridh kali ini, tak banyak wang yang penulis laburkan untuk mendapatkan kitab-kitab pilihan penulis. Bukan kerana tiada pilihan, tetapi tiada 'bulughah'. Rindu menanti kehadiran dermasiswa orang-orang itu.

Sekitar Ekspo Jualan Kitab

BELASUNGKAWA BUATNYA

Hari ini.. hampir 40 hari kami ditinggalkan oleh seorang sahabat. Pergi menemui Allah.

Pada mulanya, saya tak mahu menulis apa-apa mengenai pemergian beliau. Namun, setelah menghitung hampir genap 40 hari beliau pergi ke arah kehidupan yang lebih bermakna di sana, saya tuliskan sedikit di sini mengenai beliau. Tanda bahawa pemergiannya memang ditangisi.

Beliau orangnya mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang beliau jumpai. Mudah ketawa. Kadang kala gelagat beliau agak melucukan. Kami sering bertukar idea dan berdiskusi mengenai pelbagai isu. Paling diminati beliau adalah berkenaan isu politik.

Seorang yang cukup menjaga penampilan setiap masa samada di dalam majlis formal mahupun tidak. Tak pernah saya ternampak beliau 'berkain gombang' walaupun di rumah. Beliau tidak biasa dengan pakaian tradisi orang Melayu itu barangkali.

Apa yang membuatkan saya begitu tersentuh dengan pemergian beliau adalah kerana keakraban kami di hari-hari akhir beliau di sini (Mesir). Dalam seminggu sebelum beliau berangkat pulang kerana ingin menjalani pemeriksaan dan pemulihan kesihatan yang lebih rapi di Malaysia, kami sempat meluangkan masa bersama. Dengan lebih akrab. Lebih bersahabat.

Suatu ketika, beliau tertidur di atas katil saya. Apabila terjaga beliau pun berkata "Sedap juga tidur kat sini kan? Entah bila lagi lah ana dapat tidur lena macam ni lagi". Saya hanya tersenyum ketika itu.
Beliau amat menggemari lagu "Penghujung Rindu" nyanyian Jamal Abdillah.
Apabila beliau menyanyi sebaris bait lagu ini, saya suka menyambungnya. (adakah saya juga menyanyi?).
JIka ditanya "bila ustaz akan berkahwin ya?", beliau suka menjawab "Kalau sempat kahwin".

Terlalu banyak kenangan dirakamkan bersama sahabat saya ini di hari-hari akhir beliau di sini.
Kenangan menemani beliau ke hospital. Kenangan memicit-micit anggota badan beliau selepas membuat pemeriksaan doktor. Kenangan mengemaskan barangan beliau untuk diisi ke bagasi lalu dibawa pulang ke Malaysia. Kini, setiap kali saya masak menu 'sambal paprik ayam', saya hanya mampu terkenangkan beliau dan menghadiahkan al-Fatihah buatnya. Beliau cukup berselera menikmatinya.
Semuanya masih saya ingat.

Kesemua 'belasungkawa' ini bukanlah menunjukkan tanda tidak redha dengan pemergiannya.
Bukan pula menangisi pemergian seseorang sahabat secara melampau.

Tetapi sebagai bukti bahawa beliau masih tetap 'hidup' di hati kita.
Masih tetap hidup di alam sana.
Malah itulah kehidupan yang sebenarnya. Kehidupan yang hakiki.
Kita semua sedang menuju ke sana. Dan al-Marhum, Mohd. Hidayatussaufi bin Mohd Khalid (gambar di bawah) telah mendahului kita.




Salam sejahtera buat ustaz di sana, dan insyaAllah kami semua bakal menyusul kemudian.

Al-Fatihah..

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails