Thursday 4 February 2010

MEMANDANG KE 'LENSA' MUHADDITHIN



Sudah selesai episod imtihan musim sejuk ini. "Dirasat Asanid" yang menggerunkan telah mengakhirinya. Berserah sahajalah. Moga harapan yang disandarkan berbalas. Amin.


Subjek ini sebenarnya tidaklah terlalu rumit untuk difahami perbahasannya. Namun, boleh tahan sukar juga untuk dikuasai (baca : memang sangat sangat susah). Penguasaan di dalam seni pengajian rantaian sanad adalah antara tanda keistimewaan para muhaddithin berbanding para ulama di bidang yang lain.

Anda tidak mempunyai apa-apa alasan untuk tidak menghafal nama-nama para perawi jika ingin menguasai bidang ini.

Kadang-kala seseorang perawi itu banyak gelaran. Seperti Imam Muhammad ibnu as-Sa'ib. Beliau digelar Abu Sa'id, Abu an-Nadhir, Hammad, dan Abu Hasyim oleh sebahagian anak-anak murid beliau.

Kadang-kala, berlaku juga kekeliruan dalam menterjemahkan (memperkenalkan) para perawi bilamana lebih daripada seorang yang mempunyai nama yang sama. Bahkan bukan hanya nama mereka, juga nama bapa dan datuk, nisbah negeri mereka, thobaqat (peringkat zaman) mereka, gelaran mereka, nama panggilan, dan lebih merumitkan adalah apabila guru-guru dan anak-anak murid mereka adalah orang yang sama.

Terlalu banyak contoh yang penulis perlu berikan jika ingin membuktikan kebenaran kenyataan ini. Rasa tidak adil jika tidak berikan semuanya sekali. Cukuplah penulis naqalkan perkataan guru kami, Prof. Dr. Redha Zakariyya ketika membincangkan tentang kaedah mengenalpasti 'al-Muttafiq wa al-Muftariq".

Contohnya seperti Muhammad ibn Ya'qub ibn Yuusuf an-Naisaaburi. Terdapat dua orang perawi hadith yang mempunyai nama yang sama, nama bapa, datuk dan nisbah negeri yang sama.
Selain itu, terdapat dua orang perawi yang bernama Yahya bin Sa'iid, terdapat dua juga orang yang bernama Isma'il bin Abaan. Di sinilah baru kita sedari bahawa pentingnya ilmu hadith.

Seseorang itu tidak boleh mengaku hebat dalam ilmu ini jika hanya pandai kata "bid'ah", "sunnah", "dho'if", dan lain-lain istilah apabila merujuk pendapat sesuatu Imam. Bukanlah suatu tindakan yang bijak apabila hanya mengemukakan pendapat yang menyokong hujjah kita dalam sesuatu perbahasan tanpa mengemukakan pendapat yang menentang. Bertindak adil dengan bijaksanalah sekalipun ingin berbahas secara ilmiah.

Para Fuqaha' handal di medan hukum hakam yang terhasil daripada sumber asli dan turath islami.
Para Usuli (Ulama Usul Fiqh) handal bermain dengan dalil daripada sumber-sumber tersebut dan qawa'id fiqhiyyah.
Para Mutakallimin (Ulama Ilmu Kalam-Tauhid) handal di medan perbahasan akidah dan dalil aqli.
Para Lughawiyyin (ahli bahasa) handal di lapangan bahasa syurga ini yang meliputi tatabahasa, ilmu ma'ani, ilmu bayan, ilmu badi', seni suara dan pengeluaran huruf, dan lain-lain.

Maka begitu juga dengan para muhaddithin. Mereka cukup istimewa dalam pengajian sanad dan matan. Secara riwayah mahupun dirayah. Pembahagian Ilmu Hadith kepada (1) Riwayah dan (2) Dirayah telah disebutkan oleh al-imam al-Jalal as-Suyuthi rahimahullah (wafat 911H) di dalam kitab "Tadribu-r-raawi" ketika menaqalkan pendapat daripada al-Imam Ibnu al-Akfaani rahimahullah (wafat 794H) di dalam kitab "Irsyaadu-l-Qaasid ila Asna-l-Matholib".

Menurut Guru kami yang mulia, Prof. Dr. Musthofa 'Imarah, kitab "Tadribu-r-raawi" adalah di antara karya Imam Suyuthi rahimahullah yang terakhir dikarang semasa hayat beliau dan ia juga boleh diibaratkan 'ensiklopedia' di dalam ilmu hadis sepanjang zaman. Kitab tersebut sarat dengan perbahasan ilmu hadith secara terperinci merangkumi perbandingan pendapat para muhaddithin di kalangan para tabi'in sehinggalah ulama di kurun ke 9 H. Hampir tiada perbahasan ilmu hadith yang tidak disentuhnya.

Kitab ini merupakan syarah (huraian) kepada karya al-Imam al-faqih Muhyiyuddin Yahya bin as-Syarf ad-Dimasyqi an-Nawawi rahimahullah di dalam ilmu hadith iaitu "Taqriibu-n-Nawawi". Manakala karya beliau ini pula merupakan ringkasan daripada teks agung milik al-Imam Abu 'Amru Utsmaan ibnu 'Abdir-Rahman as-Syahrozuuri as-Syaafi'i atau lebih terkenal sebagai "Ibnu as-Solaah". Kitab ini telah memuatkan perbahasan ilmu hadith secara menyeluruh daripada asas-asasnya hinggalah cabang-cabangnya yang kecil seperti ilmu al-Jarh wa at-Ta'dil (metodologi dalam melalakukan kritikan ilmiah terhadap para perawi hadith). Sesuai dengan namanya iaitu "Ulum al-hadith" atau lebih masyhur dikenali sebagai "Muqaddimah Ibni as-Solaah".

sekilas pandang bangunan kuliah Usuluddin, al-Azhar, Kaherah

---------------

Mungkin sidang pembaca akan merasa hairan mengapa penulis sebutkan mengenai pembahagian ilmu hadith dan kitab-kitabnya selepas menyatakan sedikit mengenai ilmu pengajian rantaian sanad.

Sengaja saya sebutkan sebagai tanda kepada sikap berhati-hati dan telitinya para muhaddithin di dalam membincangkan tentang sesuatu hadith. Lihat, para ulama' telah membahagikan perbahasan ilmu hadith ini sebegitu agar lebih mudah difahami lalu dikuasai oleh para penuntut ilmu hadith yang ikhlas. Kemudian di dalam kitab-kitab mereka, telah dibahagikan pula bahagian-bahagian tersebut dengan lebih terperinci dan meluas.

Betapa beradabnya mereka dengan hadith baginda nabi sollallahu 'alaihi wasallam. Betapa berlemah lembutnya mereka dengan para muhaddithin ketika menaqalkan perkataan dan pendapat mereka. Betapa ikhlasnya mereka inginkan warisan agung ini terus terpelihara. Agar cahaya kasih pada baginda nabi dan para pewarisnya terus menerangi dunia.

Moga Allah mengasihi mereka semua.
Moga kita berpeluang menumpang keberkatan mereka.
Moga kita menjadi pencinta mereka.

-----------

Sebelum imtihan berlangsung sehinggalah kini, terlalu banyak peristiwa penting berlaku dalam 'diari usang' penulis. Ada yang menyedihkan, ada yang menggembirakan. Ada yang menguatkan, ada yang melemahkan. Moga Allah perkenan untuk terus memelihara diri hina ini daripada perkara-perkara yang menjauhkan daripada mendapat petunjuk-Nya.

Allah, perkenankanlah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails