Tuesday 2 February 2010

SETELAH KEMBALI SUAM


Setelah hampir dua buah 'kanvas' hijri laman ini bersendirian, jari-jemari yang kaku ini mula meraba-raba papan kekunci ini untuk menemaninya. Sebenarnya, selalu sahaja penulis menyentuh 'keyboard' ini. Namun tidak tergerak untuk mengarang di laman 'winter' ini. Mungkin disebabkan cuaca yang tidak menentu di bandar seribu menara ini barangkali.

BERBULAN MADU BERSAMA SANG IMTIHAN

Imtihan semester kali ini berbaki satu lagi subjek. Jujur, Tahun 3 ini semakin terasa cabarannya. Bentuk soalannya, 'kemahalan' hati doktor memberikan silibus matapelajaran, jadual pra-intelektual peribadi, dan macam-macam lagi yang tidak perlu dibentangkan di sini. Semua itu semakin mengetuk-ngetuk benak pemikiran ini untuk lebih bersikap realistik dengan idea-idea dan cita-cita kita.

Bermula dengan 'Khitobah' yang sedikit menggembirakan. Ya lah, apa yang disoal itu pernah dibaca dan dihafal. Gembira amat. Alhamdulillah. Seterusnya menerima kehadiran 'tauhid'. Agak menakutkan. Bukan kerana dua kitab yang perlu diulangkaji, tetapi kerana pengarangnya yang cukup terkenal dalam menulis karya ilmiah dengan bahasa yang tinggi. Cukup tinggi. Tanya sahajalah siapa di kalangan anak-anak Usuluddin, Al-Azhar di Kaherah ini yang tidak kenal dengan Dr. Toha Hibisyi (gambar). Kalau tidak mengeluh dan membebel sekalipun, pasti terbeliak biji mata dan menggeleng-gelengkan kepala sudah cukup menunjukkan reaksi serius mereka ketika memhami maksud karangan guru kami yang mulia ini. Harap penulis dapat terus bersama menadah hikmah ilmu daripada beliau selepas imtihan ini. Temujanji dengan 'al-Iqtishod fi al-i'tiqod' karangan Hujjatul-Islam Imam Ghazali rahimahullah insyaAllah akan bersambung semula.
Prof. Dr. Toha Hibisyi ad-Dusuqi

Maka tibalah giliran Dr. Muhammad Sa'id Solih Sowwabi pula dengan kitab sirahnya yang cukup terperinci dalam membentangkan epilog agung mengenai baginda nabi sollallahu 'alaihi wasallam sejak sebelum mawlidnya (kelahiran) sehinggalah selepas kewafatannya. Tiada apa yang ingin diperkatakan. Berharap bantuan daripada-Nya sahaja. Terima kasih wahai tuan guru.

Episod imtihan diteruskan dengan sketsa bersama 'Manahij Mufassirin'. Ini bukan madah teras kami di kalangan mahasiswa jurusan Hadith dan Ulum Hadith. Namun peranan 'baginda' sentiasa hidup dalam dunia tafsir bahkan bagindalah mufassir al-Qur'an yang pertama. Terasa juga berhajatnya kami kepada tafsir, begitu juga tafsir kepada hadith.

Semalam, subjek yang sudah menghantui penulis sejak mula diletakkan di dalam jabatan Hadith ini, iaitu subjek 'Takhrij'. Secara mudahnya, seni ini adalah suatu keperluan bagi sesiapa sahaja berhajat untuk menaqalkan apa jua warisan Islam yang agung ini. Samada al-Qur'an, Hadith nabi sollallahu 'alaihi wasallam, kalam para sahabat, para ulama' salaf dan khalaf, semuanya berhajat kepada permata berharga ini.

Mungkin melalui seni takhrij ini, umat Islam akan lebih terdorong untuk lebih beradab dengan para ulama' serta menghargai jasa bakti mereka terhadap al-Qur'an dan as-Sunnah. Merekalah pejuang al-Qur'an dan as-Sunnah yang sebenarnya. Jangan mimpi bahawa kita layak untuk mengotorkan mulut kita dengan mengaku sebagai pejuang al-Qur'an dan as-Sunnah sedang kita belum bersedia menjadi khadam kepada kedua-duanya. Jangan mudah syok sendiri dengan perjuangan kita menegakkan kebenaran di lapangan ilmiah sedang diri kita cukup susah untuk menghormati ulama'.

Bukankah seorang mu'min itu pastinya bersikap penyayang terhadap kaum muslimin yang beriman? Apatah lagi kepada mereka yang dipilih oleh Allah untuk mewarisi urusan kitab Allah? Apatah lagi kepada mereka yang diwar-warkan sebagai pewaris para anbiya'?

Beradab dengan mereka bukan bererti me'maksum'kan mereka.
Menghormati mereka bukan bererti 'buta' tentang kesilapan mereka di dalam lapangan ilmiah.

Usah mudah berbangga bahawa anda adalah seorang yang teliti dan menjaga amanah ilmu, sedangkan anda terlupa tentang ilmu adab. Lihatlah betapa hampir tiada para muhaddithin yang terkenal meriwayatkan mutiara hadis akan tertinggal daripada turut serta dalam meriwayatkan hadith tentang adab.
Baik para imam bagi kitab yang enam mahupun selain mereka.

Melihatlah biarpun mata anda telah terbuka. Usah tertipu dengan mata anda itu ye.

Selesai 'takhrij' teori.

Pagi tadi, penulis bersama beberapa orang rakan sejabatan telah menduduki peperiksaan amali bagi subjek ini. Alhamdulillah. Di meja peperiksaan kami tadi, hanya ada anak-anak nusantara sahaja. Malaysia dan Indonesia. Ia benar-benar melancarkan komunikasi antara kami dalam bekerjasama.

Masakan tidak, kami adalah kumpulan terakhir memulakan gerak kerja mengenal pasti indeks hadith, menghuraikan simbol-simbol di dalam indeks takhrij, mencari sumber asli di dalam kitab-kitab hadith, lalu mengeluarkan dalam bentuk terperinci lalu membentangkan di atas lembaran buku jawapan yang di sediakan, tetapi kami lebih awal menyelesaikannya berbanding kumpulan yang lain. Alhamdulillah.

Di meja lain pula, ada yang bercampur antara pelajar Malaysia, India, Somalia (agaknya), Afrika, Eropah dan negara-negara Arab.

Kami sepakat untuk menggunakan kaedah pengeluaran hadith berdasarkan lafaz yang nyata atau jarang digunakan di dalam hadith. Maka rujukan yang kami gunakan adalah "al-Mu'jam al-Mufahras li Alfaadzhi l-hadithi n-nabawi" susunan pakar oreantalis dan Dr. Muhammad Fu'ad Abdul Baqi. Berharap suatu hari nanti penulis mampu memilikinya. Sangat bermanfaat.

PENANGAN ILMU TAKHRIJ

Apa yang ingin dikongsi, aktiviti mengeluarkan hadis daripada sumber-sumber aslinya tadi adalah sangat menyeronokkan. Selama ini kami hanya diberikan teori dalam seni takhrij dan dibentangkan contoh-contoh sahaja. Benarlah pepatah arab menyebutkan "Bil-Mitsaal yattadhihu l-Maqaal" bermaksud dengan (melihat) contoh, maka akan jelaslah maksud apa yang diperkatakan.

Dan hari ini kami diberi peluang melakukan sendiri aktiviti mulia tersebut. Semakin jatuh cinta padamu wahai 'takhrij'. Ada benarnya juga kata-kata hukama' "Jika kita dengar, berkemungkinan boleh terlupa, jika kita melihat berkemungkinan kita boleh ingat, tetapi jika kita buat sendiri pasti kita faham".

Khamis ini, insya-Allah kami ada temujanji dengan sebuah seni ilmu yang menampung perbahasan mengenai salah sebuah juzu' anggota sesuatu hadith, iaitu sanad. Subjek ini paling mencabar bagi penulis untuk semester ini. Paling lumat dan mampat dengan metodologi para muhaddithin dalam berinteraksi dengan as-Sunnah. Ketelitian, kerigidan dan kecerewetan mereka sangat jelas dalam bidang ini. Mungkin atas sebab itu kami (mahasiswa Jabatan Hadith) ini sering dipandang 'syadid' oleh orang-orang itu.

Doakan semoga penulis dapat mengharungi cabaran ini dengan penuh hikmah dan tenang. Kepada-Nya lah diharap segala bantuan.


Maqam al-Imam al-Hafidz Jalaluddin as-Suyuthi, wafat 911H yang terletak di Bab el-Qarafah berdekatan dengan Saiyidah 'Aisyah, Kaherah. Beliau antara tokoh terulung seni takhrij di abad ke 9 Hijrah dengan mengarang beberapa karya di dalam bidang takhrij. Antaranya ; Jam'ul-Jawami' (al-Jaami'ul-Kabir), al-Jaami' as-Soghir, dan Ziyadatul-Jaami' as-Soghir.

Insya-Allah bersambung selepas imtihan.

wAllaha as'al..
wa bi nabiyyihi atawassal..



No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails