Saturday 5 December 2009

JENTIKAN RABBANI



Selepas hampir dua minggu kuliah di Universiti Al-Azhar ditawaquf (ditutup), hari ini beberapa buah kelas telah mula kembali rancak bermuhadharah (syarahan). Syu'un kuliah pun dah beroperasi semula. Bezanya, hari ini tidak seriuh biasanya dengan suara kerani-kerani yang ligat melayani karenah para mahasiswa yang membuat urusan pendaftaran dan lain-lain. Sepinya umpama Raudhah yang mulia.

Memori "Barakah Umhaj 2004" menyinggah seketika. Rasa syahdu ketika menjejaki 'taman nabawiy' itu tak mungkin saya lupa. Bau harum di sekitar maqam baginda sollallahu 'alaihi wasallam menyentap jiwa.

Seakan ingin sekali saya gunakan peruntukan daripada bantuan zakat (dermasiswa) MAIJ untuk menziarahi baginda sollallahu 'alaihi wasallam buat kesekian kalinya.

Namun, keutamaan adalah keutamaan. Lantas saya hanya mampu berdoa agar diberi kesempatan lagi untuk ke sana. Moga dipertemukan lagi dengan baginda. Allahumma Amin.
Sungguh, saya merindui detik-detik itu.

*******

Tak sampai beberapa ketika, saya sedar doa saya tadi telah dimakbulkan.

Seperti yang dirancang, saya teringin untuk sertai kelas pengajian kitab "Sohih al-Bukhari" yang dikendalikan oleh Syaikh Yusri hafidzohullah di masjid al-Azhar. Setiap hari sabtu, jam 10.15 - 10.30 pagi hingga waktu Dzohor.

Alhamdulillah, doa yang saya pohon tadi dek rasa rindukan Raudhah rupanya diperkenankan. Belum berkemampuan nak ke sana, dapat dengar butiran jawami-'ul-kalim baginda sollallahu 'alaihi wasallam pun jadi lah. Terima kasih ya Allah. Terubat juga rasa rindu.

Hari ini Syaikh Yusri menyentuh hadis-hadis di dalam kitab ini mengenai Jihad.
Di antara pengajaran yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca sekalian, mengikut apa yang saya rumuskan daripada syarahan Syaikh Yusri ialah :
1. Setiap peperangan yang disertai Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam adalah peperangan yang membawa rahmat. membawa simbolik kasing sayang. bukan berperang dengan semangat ingin menjajah mahupun ingin menang. Jauh sekali ingin menindas yang lemah.
Anda bayangkan, banyakkan bezanya dengan senario perang pada hari ini?

2. Sebaik-baik do'a yang dipohon adalah memohon kepada Allah agar dikurniakan 'afiyah.

3. Dalam berjuang di medan peperangan, seorang tentera harus meminta izin daripada ketua pasukan untuk ta'adzzur (mengundur diri) daripada peperangan. Ianya dibolehkan HANYA jika terdapat keudzuran seperti baru berkahwin dan urusan membina rumah yang belum selesai. Sebagaimana peristiwa Amir-il-mu'minin Saiyidina 'Umar ibn al-Khattab rodhiyallahu 'anhu yang meminta izin daripada Rasulillah untuk ta'adzzur ketika peperangan Mu'tah dan Tabuk. Begitu juga halnya bagi Saiyidina Jaabir rodhiyallahu 'anhu yang diizinkan pulang kerana beliau baru sahaja berkahwin.
Pun begitu, harus diingat. Izin itu diberikan atas sebab yang diiktiraf syarak. Jika seseorang itu berundur diri disebabkan perasaan takut kepada musuh atau sifat nifaq (kemunafikan), maka ia dilarang bahkan ditempelak oleh Allah di dalam surah at-Taubah.
Begitu juga kita ini. Tak kira dalam persatuan apa pun, pergerakan apa jua pun, sematkanlah didikan yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya ini di dalam jiwa kita. Jika terdapat keudzuran sekalipun yang menyebabkan kita 'berehat' seketika, hendaklah meminta izin daripada ketua. Muhasabah bersamalah.
Hebat Syaikh Yusri. Allahummaftah 'alaihi.



Tidak hanya selesai di situ.

Seusai solat zohor, saya bergegas ke perkampungan Qaitbay, Darrasah (berdekatan dengan kawasan Dar-ul-Ifta' Mesir). Rumah Syaikh Abdul Adzhim hafidzhohullah, guru al-Qur'an kami. Sudah berkali-kali termimpikan beliau. Hati jadi semakin tidak tenang selagi tak bersua muka. Sejak pulang daripada bercuti, saya belum bertemu lagi dengan beliau. Ziarah pun belum apatah lagi hendak menyambung semula 'mengaji' dan 'dipukul'.

Menjadi kebiasaan kami talaamiidzuhu (anak-anak murid beliau) apabila bercerita tentang mengaji dengan Syaikh Abdul Adzhim, tidak sah kalau tidak bercerita tentang "fukul gamid" (pukulan keras) daripada Syaikh untuk anak-anak muridnya yang lalai ketika memperdengarkan bacaan al-Qur'an. Termasuk saya.

Tujuan asalnya hanya ingin menziarahi beliau. Namun, oleh kerana cintanya beliau kepada al-Quran yang terlalu tinggi, beliau minta saya perdengarkan bacaan al-Qur'an juga. Beliau sering mendahulukan al-Qur'an sebelum yang lain-lainnya. Itulah guru kami.

Apa yang membuatkan saya rasa terharu bercampur ta'ajjub, beliau meminta saya membaca mana-mana ayat yang saya kehendaki daripada al-Qur'an. Lantas saya pun turuti. Tanpa disangka, ayat yang saya pilih secara rawak itu juga menyentuh ayat 62, Surah An-Nur, Juzuk ke-18. Ayat yang menjadi tajuk perbincangan Syaikhuna Yusri semasa di kelas pengajian Sohih al-Bukhari tadi. Allahu Allah..

Bukan ayat yang sama menjadi persoalannya. Tetapi Tarbiyah Rabbaniyyah (Didikan Allah) yang menjentik jiwa saya ketika itu. Umpama 'teguran' daripada Allah buat saya agar sentiasa mengamalkan apa yang dipelajari, peringatan itu diutus melalui ulama rabbani.

Menurut Ulama', jika terdapat ayat-ayat al-Qur'an atau kisah-kisah yang diulang, ia membawa mesej penekanan terhadap kesahihannya, seperti pengulangan cerita mengenai Hari Qiamat dalam surah-surah di dalam al-Qur'an yang menekankan tentang kesahihan akan berlakunya hari itu, atau penekanan terhadap kepentingannya seperti pengulangan ayat yang terdapat di dalam Surah As-Syarh (A lam Nasyrah...). Sebahagian Ulama' juga menamakan surah ini sebagai "Al-Insyirah" kerana kandungan makna ayat-ayatnya.

Begitu juga perihalnya dalam hadis Nabi sollallahu 'alaihi wasallam. Baginda sebagaimana diriwayatkan kepada kita, sering mengulangi sebanyak tiga kali ucapan baginda. Agar memudahkan para sahabat menghafal dan memahami maksud daripada perkataan baginda lantas mengambil perhatian tentang pengajarannya.

Maka saya kira kisah saya ini juga boleh dianggap begitu hampir serupa.

Syukur padaMu ya Allah atas nikmat ini.

Lihat, peringatan itu disampaikan melalui Ulama' yang mana ilmu mereka datang daripada punca yang satu. Maka pengajaran yang diberikan tiada tanaqudh (pertentangan). Bahkan saling lengkap melengkapi. Satunya menghurai kandungan dan pengajaran ayat, dan satunya lagi mengukuhkan pengajaran tersebut. Allahumma laK-al-hamdu.

Jika bukan kerana menadah ilmu di kelas pengajian Syaikh Yusri, jika bukan kerana hanya ingin menziarahi Syaikh Abdul Adzhim...

Ya Allah, rahmatilah guru-guru kami. Peliharalah Ulama' kami. Kami masih dahagakan curahan ilmu mereka. Dengan kebenaran Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam, bantulah kami untuk rasa bersyukur kepada-Mu dengan lebih gagah dan tabah menadah ilmu daripada Ulama Rabbani. Allahumma Amin.

Tambahan :
1. Untung Syaikh Yusri tiada panggilan kecemasan hari ini. Dapat juga ikut kelas Sohih al-Bukhari. Beliau merupakan seorang Pakar Bedah di salah sebuah hospital di Kaherah. Ini baru layak digelar Ulama Profesional kan? bukan protaz ! jauh sekali yang jadi-jadian.

2. Syu'un yang dimaksudkan di atas adalah Pejabat Urusan Hal Ehwal Pelajar di bangunan Kuliah, Universiti Al-Azhar.

3. Raudhah di atas bukanlah nama orang. Bukan pula insan tertentu. Tapi dikhususkan buat kawasan perkarangan maqam baginda nabi sollallahu 'alaihi wasallam yang mulia di sebelah hadapan Masjid Nabawi.

4. Jawami-'ul-kalim di atas bermaksud himpunan perkataan yang memiliki makna yang menyeluruh. Ini salah satu keistimewaan yang Allah kurniakan buat kekasih-Nya sollallahu 'alaihi wasallam tanpa ada seorang nabi pun yang mendapatkannya. Allahumma solli 'alaihi wa 'ala aalihi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails