Friday 31 December 2010

Hari Jumaat, Hari Raya

Artikel di bawah ini merupakan hasil karangan Ustaz 'Umar Muhammad Noor. Sila nikmati faedah daripada tulisan beliau ini.

Beliau berkata :

Tulisan ini sebahagian dari artikel yg saya kirimkan ke majalah solusi isu 27 di kolum Akhir zaman. Sengaja saya muatkan di sini (ruangan note laman facebook beliau) untuk bacaan teman-teman yang mungkin belum mendapati majalah tersebut.

Hari Raya di Syurga

Mungkin tidak ramai dari kita yang menyadari bahawa hari raya di dunia ini sebenarnya gambaran bagi hari raya yang akan kita raikan di syurga nanti. Setiap hari raya yang kita raikan di dunia, akan kita raikan kembali di syurga. Namun kegembiraan mereka pada hari itu jauh melebihi kegembiraan mereka pada hari ini.

Berkata AlHafiz Ibn Rajab Al-Hanbali dalam Lataif Al-Maarif : “Adapun hari raya kaum muslimin di syurga, maka ianya adalah hari-hari di mana mereka berziarah kepada tuhan mereka, lalu disambut dengan penghormatan yang besar. Allah bertajalli kepada mereka dan mereka memandang kepada-Nya. Maka tidak ada suatu pemberian yang lebih disukai ahli syurga daripada pemberian ini.”

Hari Jumaat dikenal di kalangan ahli syurga sebagai hari bonus (yaumul mazid). Sebab pada hari itu segala kenikmatan dan kebahagiaan yang mereka rasakan ditambahkan lagi oleh Allah Swt. Hari Jumaat adalah hari perjumpaan antara ahli Syurga dengan Pemilik Syurga yang sangat dikasihi: Allah Swt.

Bazaar Syurga

Perjumpaan itu dimulai dengan perhimpuan di Bazaar Syurga (suq al-jannah). Bazaar ini bukan untuk berjual beli, akan tetapi menjadi sebuah tempat bagi ahli syurga berjumpa satu sama lain. Setelah berkumpul, mereka lalu bersama-sama berkunjung (ziarah) ke tempat perjumpaan mereka dengan Allah Swt.

Bazaar ini adalah perwujudan solat Jumaat yang biasa kita lakukan di dunia. Apabila di dunia kita keluar dari rumah dengan elok dan bersih untuk melaksanakan solat Jumaat, maka ahli syurga keluar dari rumah mereka dengan pakaian dan kendaraan yang sangat mewa untuk menghadiri majelis perjumpaan dengan Allah Swt.

Dalam hadis Muslim dari Anas bin Malik, Rasulullah Saw bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada sebuah bazaar (suuq) yang dikunjungi setiap Jumaat. Maka bertiup kepada mereka sebuah angin sejuk yang menyentuh wajah dan pakaian mereka dengan kesturi. Merekapun semakin bertambah tampan dan indah. Mereka lalu kembali ke isteri-isteri mereka yang menyembutnya dengan ucapan: “Kamu semakin tampan”. Mereka menjawab: “Kamu pun, demi Allah, semakin cantik dan indah.”

Jika dalam solat Jumaat kita hanya berjumpa dan bermunajat kepada Allah dengan hati kita, maka pada hari Jumaat di Syurga nanti kita melihat Allah dengan mata kita dan berbicara kepada-Nya dengan sangat akrab.

Dalam hadis panjang yang diriwayatkan Al-Tirmidzi dan Ibn Majah, Rasulullah Saw menjelaskan bahawa apabila ahli syurga memasuki bazaar itu, mereka ditempatkan dalam majelis sesuai dengan amalan masing-masing. Mereka duduk di atas kursi-kursi terbuat daripada emas, permata, berlian, perak dan lain-lain. Orang yang paling rendah darjatnya daripada mereka duduk di atas lantai pasir yang terbuat daripada kesturi.

Lalu diizinkan bagi mereka untuk menziarahi Allah. Tuhan mereka bertajalli, menampakkan zat-Nya kepada mereka, dan berbicara kepada mereka satu persatu.

Baginda bersabda: “Tidak ada seorangpun yang berada di dalam majlis tersebut melainkan diajak bicara oleh Allah Swt. Bahkan Allah Swt bertanya kepada salah seorang daripada mereka: “Wahai polan, ingatkah engkau hari ini dan ini?” Allah mengingatkannya sebahagian dosa-dosanya di dunia. Orang itu segera berkata: “Wahai tuhan, bukankah engkau telah mengampuni dosa itu?” Allah menjawab: “Ya. Karena keluasan maghfirah-Ku engkau berada di tempat ini.”

Majelis ini sangat agung. Setiap hamba yang mencintai tuhannya merasakan kegembiraan yang tak terkira setiap kali menghadiri perjumpaan ini. Mereka lalu kembali ke rumah masing-masing sambil membawa “pencerahan” di jasad dan hati mereka, lebih besar daripada yang pernah mereka rasakan setiap kali kembali daripada mendengar khutbah dan melakukan solat Jumaat di dunia.

Ustaz 'Umar Muhammad Noor

Bersegera Hadir

Kenyataan ini patut meningkatkan motivasi yang mendorong kita bersegera untuk mendatangi solat Jumaat setiap minggu dari sekarang. Sebab kesegeraan itu akan menentukan posisi duduk kita di dalam masjid, sekaligus tempat duduk kita di majelis perjumpaan dengan Allah di dalam Syurga.

Imam Ibn Khuzaimah dalam Kitab Al-Tauhid meriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya: “Bersegeralah mendatangi solat Jumaat. Sesungguhnya Allah Swt menampakkan Zat-Nya kepada ahli syurga (yang berada) di atas gunung Kafur yang putih setiap hari Jumaat. Maka kedekatan mereka ditentukan oleh kesegeraan mereka mendatangi solat jumaat.”

Berkata Ibn Taymiah dalam Majmu’ Al-Fatawa: “Perkara yang disebutkan Ibn Mas’ud ini tidak ada yang mengetahuinya kecuali Nabi atau orang yang mendengarnya dari Nabi. Jadi, jelas sekali bahawa Ibn Mas’ud mendengar keterangan ini dari Nabi Saw.”


Selesai tulisan Ustaz 'Umar Muhammad Noor.

Tambahan :

  1. Ustaz ' 'Umar Muhammad Noor kini bertugas sebagai Imam di Masjid as-Syafa'ah, Woodlands, Singapura. Beliau merupakan seorang ulama' hadis kelahiran Indonesia yang menamatkan pengajian beliau di Omm Durman Islamic University of Suria (Syria) di dalam bidang as-Sunnah wa 'Ulumu-l-Hadith. Pernah mengajar di Kolej Pengajian Tinggi Islam (Marsah), Johor Bahru. Beliau juga merupakan salah seorang penulis di majalah Solusi.
  2. Bab "melihat Allah di Syurga" termasuk dalam salah satu daripada perbincangan ilmu tauhid. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama' ilmu kalam mengenai perkara ini. Namun, di sisi kita, ahli Sunnah wa-l-Jama'ah, perkara tersebut adalah harus. Sila rujuk di dalam Jauharatu-t-Tauhid karangan Imam Laqqani, Kharidah Bahiyyah karangan Imam Ahmad Dardir dan lain-lain.
  3. Gambar di atas adalah tambahan daripada saya. Sumber asal adalah di sini.
wAllahu A'lam.

Thursday 30 December 2010

"Tuhfah Imtihaniyah"

Anak-anak Al-Azhar, harus ada sikap "taqrib" dalam segenap aspek yang mengintai medan percanggahan pendapat dan prinsip. Samada berkaitan mazhab akidah, mazhab feqh mahupun kecenderungan real-politik. Agar perpaduan sesama umat lebih diutamakan.

Persamaan antara kita dalam perkara tunjang dalam agama lebih dimanfaatkan daripada perbezaan. Merealisasikan prinsip kebenaran melalui wasatiyah itu yang lebih dituntut.

Usah khuatir dengan penangan wasatiyah. Usah ragu dengan keberkesanan wasatiyah. Usah bimbang dengan fakta-fakta dan hujjah-hujjah yang kamu ada dalam menegakkan kebenaran itu tidak mampu menewaskan lawanmu jika kamu masih berada dalam daerah wasatiyah.

Jaga lidah kita dari menyakiti saudara kita. Bukan saudara se'asya'irah, mahupun sesalafiyah wahabiyah. Bukan sesunnah atau sesyi'ah. Sejama'ah atau sebukan jama'ah. tetapi..

Seislam. Seagama.
Jika mereka masih menyembah Allah sebagaimana yang kamu juga sembah,
Jika mereka masih membenarkan Nabi Muhammad sebagai pesuruh-Nya sebagaimana kamu,
Jika mereka masih percaya kewujudan Hari Qiamat sebagaimana kamu percaya,
Jika mereka masih lagi menghadap qiblat sebagaimana kamu menghadapnya.


Syaikhu-l-Azhar, Prof. Dr. Ahmad Muhammad at-Thoiyib


Maka berinteraksilah dengan mereka melalui jalan wasatiyah dengan berkasih-kasihan. Bukanlah berkasih-kasihan itu membelai-belai. Tetapi memandang saudara kita itu dengan pandangan sayang sebagai saudara seagama. Maka kita berinteraksi dengan mereka sewajarnya, bukan seperti pandangan syaitan kepada bani insan.

Tugas muslim ke atas muslim adalah menyelamatkannya jika dia tersasar. Tugas syaitan itu membiarkan muslim itu terus tersasar. Maka jangan bantu kerja syaitan ya.

Barulah kita dapat hidupkan sentiasa sunnah baginda SAW dan pedoman para sahabat. Berkasih sayang sesama mukmin dan bertegas terhadap kuffar.

Firman Allah bermaksud :

" ... dengan orang-orang mukmin itu, dia ( SAW ) berlembut dan berkasih sayang"

128 : 9 , Surah at-Taubah.

dan juga firman-Nya :

" (Saiyiduna) Muhammad itu adalah pesuruh Allah, dan mereka (sahabat) yang bersama-samanya itu bertegas terhadap kuffar serta berkasih sayang sesama mereka ..."
29 : 48 , Surah al-Fath.
Guru kami yang mulia, al-'Allamah al-Muhaddith Syaikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdul ba'its al-Kattani juga melarang kita untuk mencaci ummatud-da'wah (orang yang menerima dakwah islamiyah tetapi tidak menyahut seruan tersebut), apatah lagi ummatul-ijabah (orang yang menerima seruan dakwah islamiyah lalu menyahutnya). Ini kerana ianya berdasarkan umum lafaz "ummah" di dalam firman-Nya :
" Telahpun kamu menjadi sebaik-sebaik umat yang dikeluarkan untuk sekalian manusia.. "
110 : 3 , Surah Aali 'Imraan.
Hari ini, al-Imam al-Akbar Syaikhul Azhar, Prof. Dr. Ahmad Toyyib menekankan di surat khabar "Soutul-Azhar" bilangan 561, bertarikh Jumaat 13 Rajab 1431H bersamaan 25 Jun 2010 dipetik sebagai berkata :
"Cabaran yang dihadapi Islam pada hari ini tidak harus ditangani dengan ifrat (melampau secara berlebih-lebihan) atau tafrit (melampau dengan bermudah-mudah) bahkan ianya perlu dihadapi dengan dakwah secara berhikmah dan pesanan yang baik berlandaskan batasan kaedah yang diajarkan al-Qur'an.
Beliau berkata lagi,
"Sesungguhnya kami di al-Azhar beriman bahawa Allah lah yang menjadikan sekalian manusia ini berbeza-beza (antara satu sama lain) dan hubungan kita dengan orang lain adalah hubungan ta'aruf (saling kenal-mengenali), saling berkasih sayang dan saling melengkapi. Dan kita wajib untuk mempertahankan Islam dan mempersembahkannya (wajah Islam) itu sebagaimana Allah perintahkan tanpa (menekankan prinsip) mazhabiyah".
Saya tambah lagi, penegasan daripada Samahatul-Mufti Prof. Dr. Ali Jumu'ah, Mufti Republik Arab Mesir mengenai perkara ini. Di muka surat yang sama ( m/s 16 ), beliau dipetik berkata,
"Darul-Ifta' al-Misriyah merupakan salah satu juzuk institusi keagamaan di Mesir ini yang sentiasa konsisten kesungguhannya dalam mempertahankan agama Islam ini dengan memperjelaskan prinsip wasatiyah Islam, keadilan hukum hakamnya serta kesinambungannya dengan syariat yang suci, dan meneladani manhaj al-Azhar yang mana ianya dapat memberi sumbangan khidmatnya kepada aliran pemikiran am bagi para muslimin sedunia".
Beliau menegaskan lagi bahawa institusi berkenaan sentiasa berusaha untuk memperjelaskannya kepada negara-negara di dunia agar dapat terus memperkenalkan kepada mereka tentang kebenaran syariat Islam melalui metodologi yang sederhana dan adil yang merangkumi segenap isu lalu memberikan penyelesaian yang bersesuaian berkenaan isu-isu tersebut.

Kedua-dua tokoh ini adalah di antara yang paling berpengaruh masa kini di Mesir dan juga masyarakat al-Azhar. Malah hampir tiada para ulama kelahiran al-Azhar akan terlepas daripada menekankan soal ini dalam perjalanan dakwah mereka. Iaitu "wasatiyah".

Sengaja saya bawakan pendapat mereka yang sentiasa menjadi rujukan kami, anak-anak al-Azhar. Baik untuk memahami soal agama mahupun sebagai hujjah dalam berdebat.

Nukilan ringkas ini saya khususkan buat diri saya.

Ditujukan juga buat anak-anak al-Azhar,
buat mereka yang menggelar diri mereka anti-wahabi,
buat mereka yang menggelar diri mereka anti-ahbash,
buat mereka yang menggelar diri mereka anti-syi'ah,
buat mereka yang menggelar diri mereka anti-sunni,
buat mereka yang menggelar diri mereka anti-asya'irah.
buat mereka yang menggelar diri mereka anti-UMNO,
buat mereka yang menggelar diri mereka anti-PAS,
buat mereka yang menggelar diri mereka anti itu dan ini.
buat saudara-saudara seagamaku.

Manhaj ini bukanlah mula dipelopori oleh al-Azhar, jauh sekali yang memulakannya. Ini adalah manhaj Islam sebenar yang jauh daripada kemelampauan. Ia bukan milik al-Azhar, tetapi al-Azhar telah banyak memberikan sumbangan khidmatnya dalam memegang panji-panji wasatiyah memimpin kehidupan umat Islam menurut neraca yang sebenar.

Sikap sebegini diajarkan al-Qur'an dan Sunnah dalam kita berinteraksi sesama manusia. Maka sudah tentu sesama muslim itu lebih utama.
Moga Allah menghimpunkan kita semua nanti sebagai umat yang benar-benar merealisasikan ayat 143 : 2 , Surah al-Baqarah yang maksudnya,
"Dan yang demikianlah Kami telah jadikan kamu sebagai umat yang pertengahan (wasatiyah) agar kamu menjadi menjadi saksi terhadap sekalian manusia dan (baginda) Rasul itu sebagai saksi terhadap kamu"
.
Allahumma Amin. Allahumma fasyhad.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Tambahan :

Tulisan ini tidak bertujuan menyakiti mana-mana pihak.

Moga manfaatnya lebih diambil daripada 'sangkaan mengenai motif sebaliknya'.
Mohon maaf jika ada yang tersinggung.

Usah kira saya tidak tahu membezakan mazhab yang benar dan batil.
Usah kira saya tidak tahu membezakan jama'ah mana yang benar dan batil.
Usah kira saya ini memiliki teori dan fikrah yang tidak jelas.

Tujuan saya tidaklah lebih daripada untuk cuba bersikap wasatiyah. Tidak lebih daripada untuk kita saling memanfaatkan persamaan antara kita berbanding menegakkan hujjah terhadap perbezaan kita.

Apabila kita terjun ke medan perselisihan yang dahsyat, maka kita sangat terdedah dengan tipu daya syaitan dan dorongan nafsu. Seorang mu'min yang kuat tidak bisa berundur daripada menegakkan kebenaran. Cuma Islam mendidik kita agar mengaplikasikan tugas murni tersebut dengan prinsip yang baik.

"Membangun Bersama Wasatiyah Islam" hehe.



Dari kiri : Prof. Dr. Muhammad Sa'ied Ramadhan al-Buthi, ad-Da'iyah al-Habib 'Umar, Prof. Dr. 'Ali Jumu'ah, Prof. Dr. Abdullah bin Baiyah


Related Posts with Thumbnails