Tuesday 16 March 2010

SUKEJ menjemput semangatku

Selesai menyerahkan 'soft copy' Suara Kampus Edisi Johor keluaran 115 kepada Ustaz Masnur malam ini untuk dicetak. Ustaz Masnur atau kadang-kadang lebih mesra dipanggil 'Kang Masnur'merupakan seorang mahasiswa Indonesia yang sedang melanjutkan pengajian M.A. di Universiti Liga Arab, cawangan Kaherah. Kampus utamanya di Tunisia jika tidak silap. Terlalu banyak jasa beliau kepada kami (anak-anak Johor) di Mesir ini khususnya di Kaherah. Beliau banyak menyumbang bakti beliau dalam aspek akedemik dan intelektual.

Susuk tubuhnya biasa sahaja. Semangatnya bak si api yang marak menyala. Hatinya besar sekali. Biar berjauhan daripada isteri dan kedua orang puteri dan putera beliau, tetap terus gagah mengharungi liku dan dugaan meneruskan kembara permusafiran ilmu beliau di bumi berdebu ini. Bumi gurun yang mempunyai beribu menara. Bumi yang tua sejarahnya. Moga kami termasuk dari kalangan orang-orang yang apabila melihat sesuatu kebaikan itu, lalu diteladani dengan penuh azam dan bersungguh-sungguh. amin.

Tidak mengapalah. Bukan tentang beliau yang ingin diutarakan di sini sebenarnya.

Pertamanya, sekadar mengerahkan urat-urat minda ini agar terus ber'aksi' untuk tidak lesu dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Suara Kampus Edisi Johor atau lebih popular diistilahkan sebagai 'SUKEJ', sudah menjejaki angka '115' bilangan keluarannya pada tahun ini sejak awal diterbitkan.

Mungkin, tidak ramai yang tahu bahawa anak-anak Johor lah yang mula-mula merintis idea penulisan ilmiah melalui medium ini. Medium suara mahasiswa di Mesir iaitu Suara Kampus. Disebabkan itu juga, kita dapat lihat bahawa SUKEJ adalah 'paling senior' dari sudut bilangan keluarannya. Ada di antara Suara Kampus (SK) milik Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) atau Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) yang lain baru mencecah angka belasan, dan puluhan. Malah, ada pula yang baru pertama kali menerbitkan majalah seperti ini. Medium yang memperagakan 'gelombang intelektual mahasiswa Mesir' ke dunia pasca modenisme secara berkumpulan. Adakah baru kini mereka 'bergelombang'? hehe.

Jika diperhatikan, ruang media cetak di Malaysia sudah semakin 'riuh' dengan berbagai-bagai majalah ilmiah. Majalah I, Anis, Al-Islam (baca : lebih banyak membawa ideologi Islam Liberal), dan terbaru adalah SOLUSI.

Di Mesir juga tidak kurang hebatnya. Malah, tidak keterlaluan saya katakan bahawa negaraku tercinta, Malaysia memerlukan angka '50 tahun' lagi untuk menyamai taraf 'kesesakan majalah ilmiah' di sini pada ketika ini. Bayangkan, majalah sehebat 'I' ataupun 'SOLUSI' di sini bahkan jauh lebih hebat daripada itu pun hanya dijual dengan harga sekitar RM 1.00 hingga RM 3.00 sahaja (selepas ditukar kadar mata wang Pound Mesir).

Betapa kuatnya saingan gelombang intelektual di sini. Ianya bukan semata-mata kerana Mesir dibanjiri dengan ribuan para ilmuan dalam pelbagai bidang sahaja, tetapi juga disebabkan faktor masyarakatnya, iaitu komuniti yang akan melanggani bahan bacaan ilmiah ini. Budaya membaca di kalangan masyarakat Mesir sungguh mengagumkan. Pernah anda lihat di Malaysia, pada waktu cuti seorang ayah membawa keluarganya pergi ke kedai-kedai buku untuk mencari bahan bacaan yang mereka gemari.




Budaya murni ini telah diterapkan kepada anak-anak sejak mereka masih di zaman awal persekolahan. Zaman paling 'show' kalau bermain bersama rakan-rakan. Usahlah nafikan wahai anak-anak Malaysiaku! Saya tidak katakan bahawa kanak-kanak di sini tidak bermain bersama rakan-rakan, tetapi yang ingin saya fokuskan di sini adalah sikap ibu bapa yang benar-benar memanfaatkan minda suci anak-anak mereka di kala umur yang masih kecil.

Bukankah terdapat bidalan kata menyebutkan :
" Belajar ketika usia muda bak mengukir lukisan di atas batu..
Belajar ketika usia tua bak mengukirnya di atas permukaan air.. "

Anda tahu apakah di antara faktor Saiyidina Abdullah ibnu Abbas R.A., Saiyidina Abdullah ibnu Umar R.A., Saiyidina Abdullah ibnu 'Amru ibnu al-'Ash dan lain-lain sahabat R.A. adalah di antara paling banyak meriwayatkan hadis?

Malah mereka yang masih muda ini jugalah yang sering menjadi rujukan di kalangan para sahabat yang lebih berumur daripada mereka dalam beberapa urusan agama. Seperti Saiyidina Abdullah ibnu Abbas R.A. sering menjadi rujukan Saiyidina Abu Bakr as-Siddiq dan Saiyidina Umar dalam mentafsirkan al-Qur'an dan permasalahan hukum.

Para Ulama' ada menyebutkan di antara faktornya adalah kerana usia mereka yang masih muda pada ketika baginda Nabi SAW masih hidup. Kecerahan minda mereka ketika itu, di samping sering bermulazamah atau berdamping dengan Rasulullah SAW sangat membantu mereka dalam mempelajari ilmu agama daripada baginda SAW.

Alhamdulillah, saya berpeluang menyaksikan sebahagian besar warga Mesir ini yang memanfaatkan usia muda anak-anak mereka. Moga saya dapat meneladani sikap murni ini untuk anak-anak saya nanti. Amin.

* * * * *

Proses menerbitkan SUKEJ banyak mengajar saya tentang berharganya masa dan kerjasama berkumpulan. Bermula daripada menyusun organisasi, mengumpul bahan ilmiah yang ingin diisi ke dalam majalah ini, melalui proses rekagrafik yang mencabar, memenuhi prosedur penerbitan yang mendebarkan, dan seterusnya menghantar ke syarikat percetakan. Kesemuanya memerlukan kesungguhan dan kerjasama daripada krew SUKEJ yang terlibat.

Jika anda menjadi seorang pengarah urusan kepada sebuah kumpulan penerbitan majalah ilmiah seperti SUKEJ ini, anda bukan sahaja perlu memikirkan soal kualiti yang dipamerkan oleh isi majalah anda. Malah anda juga perlu memikirkan soal kualiti rupa majalah anda, kestabilan mutu bagi setiap keluaran, kepuasan para pembaca, kelangsungan proses percetakan dari sudut material, kelancaran proses pemusingan modal, 'mood' krew produksi, dan macam-macam lagi.

Cukuplah setahun aku 'bermanja-manja' denganmu wahai SUKEJ.

Pun begitu, pengalaman itu amat berguna. Amat mendidik terutamanya soal menjaga masa. SUKEJ bukanlah sebuah majalah yang mempunyai skala penerbitan yang tetap sepanjang tahun. Jika proses penerbitan termasuk pemusingan modal untuk mencetak keluaran yang baru itu berjalan lancar, maka keraplah SUKEJ akan keluar. Jika tidak, terpaksalah menunggu tempoh yang sesuai untuk mencetak semula keluaran yang baru.

Masalah pemusingan modal yang lambat adalah berpunca daripada kelesuan jualan. Kelesuan ini pula berpunca daripada 'trend pemasaran' di kalangan mahasiswa Mesir di sini. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Tetapi amat mendukacitakan apabila kita masih setia dengan 'trend' itu tanpa berani mencuba pendekatan baru dalam penjualan.

Lebih mendukacitakan apabila 'para pemilik' SUKEJ ini sendiri pun memandang enteng keberadaan SUKEJ di dalam kehidupan mereka dan organisasi mereka. Izinkan saya ingatkan mereka, "Ini aset kamu!".

"Jikalaupun kamu tidak dikhususkan untuk menguruskannya, tetapi ia tetap harta kamu!". Bagaimana bisa mereka memandang remeh pada kuasa pena?

Bandingkanlah betapa berkuasanya warkah utusan daripada seorang khalifah kepada si ketua panglima di medan perang berbanding dengan ketajaman mata pedang si penggempur paling bengis di kalangan tentera yang akan berperang.

Jika anda mempunyai agenda murni untuk kesatuan jama'ah, mengapa tidak anda perkukuhkan perancangan anda melalui medan ini?
Jika anda mempunyai agenda murni untuk mengejutkan mereka yang terlena dibuai kelalaian, mengapa malu menggunakan wasilah ini?

Saya maksudkan, melalui SUKEJ. Tidakkah nama rasmi majalah itu menggambarkan komuniti yang menggerakkannya adalah di kalangan mahasiswa? Tidakkah anda rasa terpanggil untuk bersuara melaluinya?

Nampaknya makin bersemangat pula. Selesai tentang SUKEJ.


* * * * *


Pertengahan April ini, Seri Paduka Tuanku, DYMM Sultan Johor dijadual akan mencemar duli berkenan merasmikan bangunan saham wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor atau juga dikenali sebagai Asrama Pelajar Johor, di Hayyu Abdul Rasul, Rab'ah. Rumah Johor yang keempat selepas Rumah Johor Abdeen, Asrama Pelajar Johor di Hayyu Thamin, dan Rumah Johor Iskandariah.

Saya terpilih untuk menjadi salah seorang AJK Pelaksana program perasmian tersebut (baca : saya tak nak). Berikut sebahagian bidang tugas saya :

1) Menguruskan proses menyediakan laman web rasmi bagi Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir yang akan dirasmikan sendiri oleh Tuanku Sultan.

2) Menyediakan ruang pameran khusus di Pusat Sumber, Asrama Pelajar Johor Rab'ah bersempena program perasmian ini.

3) Menyediakan satu persembahan multimedia sebagai gimmick pelancaran web tersebut untuk dipersembahkan ke bawah duli Tuanku Sultan.

4) Bekerjasama dengan Unit Tugas-tugas Khas berhubung proses semakan data-base ahli BKPJM melalui laman web.

Doakanlah semoga saya dapat menjalankan tugas dengan baik dan mendapat keredhaan Allah. Tugas utama untuk belajar tetap diutamakan. Keputusan peperiksaan tahun lalu harus ditambah baik lagi. Jika tidak pun, harus kekalkan. Amanah bersama.


Bangunan Saham Wakaf yang akan dirasmikan

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails