Monday 22 March 2010

Selamat Datang Daniel


“Marhaban bikum..”

“Ahlan Ya Akhi.."

Itu sahaja ucapan yang hati saya lafadzkan buat sahabat kami, Ustaz Ahmad Daniel bin Ahmad (gambar) yang baru sahaja mengesahkan ‘keahlian’nya dua hari lalu ke teratak kami di sini, Hayyu Asyir.

Beliau atau nama ringkasnya ‘Den’, berpindah ke rumah kami pada hari Sabtu yang lalu berikutan kerja-kerja pengislahan atau membaik pulih di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin bakal bermula pada hari Ahad. Setelah mendapat arahan ‘pihak itu’, perpindahan segera pun terpaksa dilakukan. Hanya beliau sahaja yang berpindah ke rumah sewa di luar Asrama Pelajar Johor, manakala sahabat-sahabat yang lain pula menghuni di Asrama Pelajar Johor, Rab’ah sementara menunggu kerja-kerja renovation selesai.

Walaubagaimanapun, kehadiran beliau ke ‘bait’[1] kami ini amat dialu-alukan. Malah, keputusan untuk memilih beliau sebagai penerus generasi penghuni Johor di rumah kami ini telah pun dibuat sebelum peperiksaan semester 1 berlangsung. Pemilihan ini dibuat kerana seorang lagi sahabat kami, Ustaz Mohd Yazid bin Pardi akan menamatkan episod kembara ilmu beliau di bumi Mesir ini. Beliau dijadualkan akan ‘terbang’ pulang ke KLIA pada 28hb Mac ini. Semoga perjalanan enta dinaungi belas kasih dari-Nya. Kehadiran ‘Den’ dipercayai akan ‘memeriahkan’ lagi imarah ini. hehe.

Daniel

Sedikit identifikasi awal mengenai beliau.

Tak banyak yang saya tahu mengenai beliau. Kali pertama berjumpa beliau ketika itu di Dewan Ibnu Sina, Asrama Pelajar Johor. Beliau sedang menunggu di kerusi sofa bagi mengajukan hasrat beliau kepada YDP BKPJM [2]hujung tahun 2008 untuk menghuni di Asrama tersebut.

Berasal dari Rengit, Batu Pahat. Umur sebaya dengan saya. Cuma, saya lebih ‘matang’ sedikit dari sudut umur, bukan lebih tua ya.

Beliau merupakan pelajar program peralihan negeri Kelantan. Mendapat pendidikan menengah juga di negeri serambi Mekah itu. Jika tidak silap, di Pasir Puteh, Kelantan. Junior kepada Ustaz Akhmal, Ustaz Fairuz Tamjis dan Ustaz Mohd Zaki.

Kini, beliau merupakan mahasiswa tahun 2 di Jabatan Am, Fakulti Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah. Alhamdulillah, jika sebelum ini kesemua member serumah saya adalah mahasiswa di kuliah Syariah Islamiah dan hanya saya seorang sahaja penuntut di kuliah Usuluddin. Kini, sudah ada orang lughah di rumah kami. Saya tidak lagi keseorangan apabila ‘diserang’. Hehe.

Di dalam aspek berpersatuan, beliau memang dikenali sebagai seorang aktivis persatuan. Boleh dikatakan orang kuat jugalah. Beliau bukan sahaja aktif di BKPJM (negeri Johor), tetapi juga aktif di Keluarga Pelajar Kelantan Mesir[3]. Tentulah begitu, ramai rakan-rakan di bangku sekolah dapat beliau temui. Selain itu, Beliau juga merupakan setiausaha kepada Badan Sambutan dan Rehlah PMRAM 2009. Aktif sungguh rakan sebilik saya ini.

Orangnya terkenal dengan perwatakan ‘meriah’ (baca : pandai dan jujur dalam mempamerkan keriangan) hehe. Mudah mesra, rajin, cergas dan lain-lain. Masih ingat lagi saya akan kenangan bersama-sama beliau dan sahabat-sahabat yang lain ke Kampung Kum an-Nur, Miyt Ghamr, Daqahliyah. Kampung guru kami, Syaikh Abdul Wahab dan ayahandanya[4]. Perjalanan kami memang memenatkan. Namun, bila memerhatikan gelagat Daniel, kami umpama terlupa akan keletihan itu. Bayangkanlah jika anda bersama-sama kami.

SAUDARA YANG MENYAYANGI KERANA ALLAH

Buat Daniel,

Sebagai kawan serumah kami yang baru, teman sebilik yang baru, kami tidak harapkan banyak daripada enta. Kami hanya sekadar mengharapkan agar teman kami ini ikhlas untuk menjadi saudara kami. Tinggal di satu kediaman yang sama. Melalui tangga dan pintu yang sama. Menghirup udara yang sama. Mendengar azan Subuh dari masjid yang sama.

Terima kasih kami ucapkan kerana sudi memilih rumah ini. Terima kasih kerana bersedia untuk mendengar keriuhan ‘pasar kereta’[5] di bawah.

Tapi, itu tidak bermakna enta terlepas daripada fasa oreantasi kami (sambil tersengih merancang sesuatu).

Semoga penghijrahan enta ditetapkan oleh Allah untuk memberikan ruang kepada kami menikmati siraman kasih Ilahi. Semoga persaudaraan yang terikat selama ini menjadi semakin tulus dan suci.

Teringat kisah di mana Baginda SAW mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar ketika peristiwa Hijrah. Baginda mempersaudarakan sahabat yang berhijrah dari Makkah, dengan sahabat yang berada di Madinah. Saiyidina Ali RA ketika menyaksikan peristiwa itu lalu berkata :

“Ya Rasulallah, Dikau persaudarakan mereka sedangkan dikau melupakan aku”

Baginda SAW lalu menjawab dengan hatinya yang penuh cinta dan kasih kepada sahabatnya ini,

“Tidak wahai Ali, aku tidak melupakanmu. Sesungguhnya engkau adalah saudaraku”.

Tunduk syukur Saiyidina Ali RA dengan kata-kata itu. Mengalir air matanya terharu kerana perihal tindakan Rasulullah SAW itu.

Bersempena kisah yang mulia itu, saya katakan buat teman serumah saya yang baru ni,

“Ana saudara enta. Enta adalah saudara ana. Ana menyayangi enta kerana Allah”.

Moga ukhuwah kami secomel ini


* * * * * *

Doakan agar urusan percetakan Suara Kampus Edisi Johor (SUKEJ) bagi keluaran 115 dipermudahkan. Semalam saya menerima panggilan daripada Ustaz Masnur bahawa harga kertas di Mesir melambung naik hinggakan beliau sendiri terpaksa menangguhkan proses mencetak buku “Syama’il” terjemahan beliau.

Seperti saya katakan, urusan menerbitkan sesuatu hasil karya memang menuntut kita untuk bersabar dan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan terpaksa menanggung kerugian. Pastinya kerugian pertama kita adalah ‘kerugian masa’.

" إنّ الإنسان لفي خسر "

Bermaksud : Sesungguhnya manusia itu pastinya berada di dalam kerugian.

(Surah al-‘Asr : 2 )

Semoga Allah menuntun kami agar tergolong di kalangan orang yang terselamat daripada kerugian ini. Sebagaimana firman-Nya :

" إلاّ الذين ءامنوا و عملوا الصالحات و تواصوا بالحقّ و تواصوا بالصبر "

Bermaksud : Kecuali bagi mereka yang beriman, melakukan kebajikan (amal soleh), yang berpesan-pesan akan kebenaran, dan mereka yang berpesan-pesan akan kesabaran. Amin.

( Surah Al-‘Asr : 3 )

03 : 40, Selasa, 23 Mac,

Hayyu Asyir, Madinah Nasr, Kaherah.


[1] Bait itu adalah rumah.


[2] BKPJM merupakan singkatan bagi “Badan KebajikanPelajar-pelajar Johor di Mesir”. Dan YDP pada ketika itu adalah Ustaz Firdauz Noh yang juga salah seorang teman serumah kami.


[3] Sebagaimana BKPJM yang merupakan satu-satunya persatuan khusus bagi anak-anak negeri Johor di Mesir, KPKM juga merupakan satu-satunya persatuan bagi anak-anak Kelantan di Mesir.


[4] Beliau adalah Syaikh Ahmad an-Nahriti al-Husofi al-Azhariy hafidzahullah.


[5] Setiap dua kali dalam seminggu, dataran lapang berhampiran rumah kami ini akan dipenuhi dengan ribuan jumlah kereta untuk dijual terutamanya hari Jumaat. Manakala hari Ahad pula adalah khusus untuk para penjual dari sekitar Kaherah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails