Wednesday, 24 March 2010

" الأوّل " ATAU " القديم " ? BAGAIMANA PULA " الآخر "? ATAU " الباقي " ?

Secerah inikah aqidah anda?

Telah bertanya seorang yang budiman :

“Apa maksud nama Allah ـ الأول ـ dan ـ الآخر ـ dalam Asma’ul Husna[1]? Maksudnya Allah itu pemula segala sesuatu dan pengakhirnya?”

Jawapan :

Kalimah " الأوّل " secara asasnya menunjukkan pemula bagi sesuatu iaitu yang pertama dari segi turutan sesuatu. Seperti kita biasa gunakan : awal bulan bererti di hari permulaan bagi bulan tersebut, awal minggu pula bererti hari yang pertama bagi minggu tersebut dan banyak lagi contoh-contoh lain.

Kata nama yang terdapat di dalam bahasa Arab juga seperti bahasa kita dengan mempunyai kata nama ‘am dan khas. Kata nama ‘am disebut " نكرة " atau “nakirah”, dan kata nama khas pula disebut " معرفة " atau “makrifah”. Kalimah " الأوّل " di atas adalah tergolong dalam kategori kedua iaitu kata nama khas.

Kadang kala kalimah ini juga boleh disebut secara ithlaq kepada selain Allah dengan syarat, telah dinyatakan secara sorih (jelas) apa yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut sebelum itu. Seperti di bawah :

Imam Baajuri rahimahullah berkata di dalam “at-Tuhfah”[2]:


" ثمّ إنّ التكليف : إلزام ما فيه كلفة ، و قيل : طلب ما فيه كلفة ، فعلى الأوّل ـ و هو الراجح ـ يكون قاصراً على الوجوب والحرمة "

“Kemudian (ketahuilah) sesungguhnya ‘taklif’ itu : adalah memestikan sesuatu yang terdapat padanya suatu bebanan. Juga dikatakan : Meminta sesuatu yang terdapat padanya suatu bebanan (agar dilaksanakan). Maka (jika berpegang) dengan pertama itu - yang juga merupakan pendapat rajih – taklif itu sekadar mencakupi hukum wajib dan haram . . .” tamat.


Lihat penggunaan kalimah tersebut di atas, ianya disebut secara bersendirian tanpa diiringi dengan apa-apa kalimah selepas huruf jar ـ على ـ . Penggunaan sebegitu sah apabila sebelumnya lagi telah dinyatakan dua pendapat mengenai takrif bagi taklif. Maka lafadz " الأول " terus merujuk kepada pendapat yang pertama disebutkan.

Manakala kalimah " الأوّل " di dalam perbincangan kita ini adalah merujuk terus kepada Allah. Ini kerana menurut para ulama, kalimah ini dan apa jua kalimah di dalam bahasa ‘arab apabila diithlaqkan (disebut secara bersendiria tanpa ada diiringi apa-apa kalimah lain itu) adalah khusus ditujukan kepada Allah selama mana kalimah tersebut menunjukkan kepada sifat-sifat kesempurnaan, ketuhanan, keagungan, dan kesucian bagi Allah SWT.


DEFINISI

Kalimah " الأوّل " di atas memberi makna “Maha Awal” iaitu Yang Mengawali segala sesuatu dari sudut tanpa ada sesuatu pun yang boleh mendahuluinya dari segi turutan kewujudan. Maka Allah SWT itu bersifat dengan sifat Awal bagi segala sesuatu.

Pembaca yang budiman,

Berdasarkan takrif yang saya sebutkan sebentar tadi, telah jelaslah bahawa sifat ‘Maha Awal’nya Allah itu adalah sebagaimana disebutkan oleh sebahagian para ulama’ Tauhid dengan ungkapan sifat ‘qidam’ atau sedia ada bagi Allah. Ini bererti Allah SWT itu adalah Maha suci daripada sifat " حدوث " atau baharu.

Sedia adanya Allah SWT itu adalah tanpa permulaan. Tanpa ada terkesan dengan sesuatu yang lain. Maka sedia adanya atau Maha Awalnya Allah itu adalah dari sudut tersedia ada secara sendirinya tanpa ada sedikitpun dibatasi dengan permulaan waktu, permulaan memenuhi ruang, permulaan berada pada mana-mana arah dan sebagainya yang tidak layak bagi Allah. Allah Maha suci daripada kesemua itu.

Maka secara jelasnya, ini telah membenarkan apa yang diajarkan oleh Al-Qur’an :


ليس كمثله شيء و هو السميع البصير

Bermaksud : Tidaklah sesuatu itu menyerupai seperti-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

PERBINCANGAN

Terdapat beberapa pihak yang mendakwa penerangan di atas adalah merupakan sesuatu yang menyusahkan akal dan penerimaan bagi umat Islam. Mereka mengatakan bahawa penerangan sifat sedia ada bagi Allah itu adalah kerana terkesan dengan metodologi filosofis barat daripada Yunani melalui ilmu Mantiq. Sebahagiannya lagi dengan ringan lidah telah menyatakan bahawa ianya adalah bid’ah yang keji.

Suka saya cadangkan kepada mereka, banyakkan membaca sejarah perkembangan ilmu Tauhid. Teliti dengan hati yang bersangka baik dan berlapang dada terhadap semua sumber yang anda temui. Utamakan soal kebenaran dalam kesatuan ummah berbanding berusaha bermati-matian untuk mempertahankan hujah. Tidak kira samada hujah tersebut benar atau batil, utamakan soal perpaduan dengan penuh adab. Saya percaya tiada sesiapa yang akan mudah menentang anda jauh sekali untuk mengecam anda selama anda tahu beradab.


PENCERAHAN

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ Tauhid ( Ahli Sunnah ) dalam menggunakan samada kalimah " الأول " atau kalimah " القديم " untuk menerangkan sifat bagi Allah SWT. Sebentar lagi saya akan cuba bawakan kepada anda penyelesaian yang dinyatakan oleh para ulama’ dalam berinteraksi dengan perbezaan pendapat dalam perkara ini. Lafaz “Awal” disebut di dalam dua sumber utama bagi Umat Islam.

Firman Allah :

هو الأوّل و الآخر


Maksudnya : Dialah Yang Maha Awal dan Maha Akhir.

( Surah al-Hadid : 3 )


Lidah Rasulullah SAW menuturkan ketika menasihati para sahabat baginda tentang apa yang perlu dibaca sebelum tidur lalu bersabda :


اللهمّ أنت الأول و ليس قبلك شيء ، و أنت الآخر و ليس بعدك شيء


Bermaksud : Ya Allah, Dikaulah Maha Awal dan tiada sesuatu pun sebelumMu, dan Dikau jualah Maha Akhir dan tiada sesuatu pun selepasMu.[3]

Rasulullah SAW sendiri telah menjelaskan maksud bagi kalimah tersebut di dalam hadis di atas. Penjelasan baginda SAW mengenai Maha Awalnya Allah itu adalah dengan tiada sesuatupun yang wujud sebelum Allah.

Sebahagian mereka [4] menggunakan lafaz " قديم " dan sebahagiannya lagi menggunakan lafaz " أوّل " ketika cuba menerangkan maha sucinya Allah daripada sifat baharu.

Bagi yang menggunakan lafaz yang pertama[5], mereka cuba menafikan sifat baharu bagi Allah beerti Allah itu mustahil memiliki sesuatu sifat yang baharu. Jika Allah bersifat dengan sifat baharu, maka Allah itu berhajat kepada sesuatu yang menjadikannya baharu. Maka itu menunjukkan bahawa Allah adalah makhluk kerana dijadikan oleh sesuatu dan itu adalah mustahil. Saya tidak memanjangkan perbahasannya di sini. Sila rujuk perbincangan mengenai sifat-sifat Allah dengan lebih terperinci.

Bagi yang menggunakan lafaz yang kedua pula[6], mereka cuba menyatakan sifat pemula atau maha awal yang mutlaq bagi Allah iaitu tiada sesuatu pun yang mendahului Allah dari segi kewujudan.

Mereka berhujah bahawa lafaz ini adalah lafaz yang disebutkan oleh nas syara’. Mereka juga berpendapat bahawa lafaz ini menunjukkan bahawa Allah SWT itu tidak mungkin bersifat dengan sifat baharu.

Di sini kita dapat perhatikan, kedua-dua kelompok di atas bersepakat dalam mensucikan Allah daripada sifat-sifat kekurangan antaranya sifat baharu bagi Allah. Mereka menggunakan lafaz yang berbeza namun tetap mempunyai tujuan yang sama.

Disebabkan itu juga perbahasan mengenai sifat qidam atau awal bagi Allah ini adalah termasuk di bawah sifat salbiyyah[7]. Para ulama’ telah menaskan di dalam kitab-kitab mereka bahawa sifat salbiyyah itu adalah : qidam, baqa’ (kekal atau tidak mungkin terhapus dan binasa), mukhalafatullah lil-hawadith (Allah tidak sama dengan sesuatu yang baharu), qiyamuHu binafsiHi (berdiri dengan diriNya sendiri tanpa berhajat kepada sesuatu selainNya), dan wahdaniyyah (keesaan).[8]

Oleh yang demikian, lafaz qidam atau awal itu tetap mempunyai keistimewaannya tersendiri. Lafaz “Awal” menunjukkan Maha Awalnya dari segi tiada sesuatu punwujud sebelum-Nya. Manakala lafaz “qidam” pula menunjukkan Maha Awalnya dari segi kewujudan Allah itu tidak didahului dengan tiada. Maka perlulah disabitkan bahawa Allah itu bersifat dengan sifat sedia ada agar ternafilah sifat baharu daripada Allah. Ini kerana hanya yang bersifat baharu sahaja yang akan didahului kewujudannya itu dengan ‘tiada’. Allah Maha Agung dan Maha suci daripada bersifat sedimikian.


SIFAT " الآخر " DAN " البقاء "

Perbahasan sifat ini juga seperti sifat qidam dan awal di atas.

Bezanya, sifat " الآخر " itu menunjukkan bahawa Allah itu

Maha Akhir dari segi tiada sesuatu pun yang wujud selepas-Nya. Manakala sifat " البقاء " pula menunjukkan bahawa Allah itu Maha suci daripada binasa atau kewujudan Allah itu tidak diakhiri dengan tiada atau kewujudan Allah itu tidak disudahi selepasnya dengan tiada atau Allah itu bersifat maha kekal.

Kedua-duanya bersepakat dalam berperanan menyatakan maha sucinya Allah daripada sifat binasa dan maha agungnya Allah itu dengan sifat kekal tanpa dibatasi dengan waktu dan apa jua sekalipun.


ULASAN

Istilah “Awal” dan “Akhir” adalah istilah rabbani yang mempunyai objektif dan peranannya yang mulia.

Istilah “qidam” dan “baqa’” juga merupakan istilah yang mempunyai objektif dan peranannya yang tersendiri. Malah terdapat di dalam perbahasan melalui kedua-dua istilah ini yang tidak terdapat pada lafaz “Awal” dan “Akhir”. Tambahan pula, peranannya adalah untuk mensucikan Allah daripada sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya dan itu adalah terpuji di sisi syarak. Hanya orang yang melihat dari sisi ulama’ memandangnya sahaja yang akan berasa tenteram dengan penggunaan istilah ini. Manakala yang tidak merasa tenteram itu akan terus diperbudak-budakkan oleh nafsu dan keterbatasan akal mereka.

Islam mengajar kita menggunakan akal dalam beragama. Mengajar kita akidah melalui perantaraan wahyu. Namun tidak pula membiarkan kita hanyut tenggelam dengan keasyikan akal yang terbatas kemampuannya, dan tidak juga mendidik kita untuk bersikap jumud dalam berpegang kepada nas syarak. Berhati-hatilah.


Ketekunan para ulama' hendaklah disyukuri bukan diperlekehkan

BIARKAN AIR ITU MENGALIR TENANG

Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah di sini kesungguhan para ulama’ dalam membahaskan sifat-sifat yang sempurna bagi Allah. Mereka berhabis-habisan tenaga dan idea dalam usaha untuk mempertahankan akidah Islam yang cukup suci, cukup seni dan cukup tepat bersesuaian dengan fitrah kejadian alam. Mereka telah lama berkhidmat dalam memastikan agar Allah itu (di pandangan manusia) Maha Agung, Maha Sempurna, dan Maha Suci daripada sifat-sifat kekurangan, sifat-sifat mahkluk dan segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.

Namun dukacitanya, terdapat segelintir pihak yang begitu keras dan radikal dalam memberikan komentar mereka terhadap pendapat para ulama’ ini. Sehinggakan ada yang berani memperlekehkan perbahasan-perbahasan yang telah diasaskan oleh para ulama yang mulia ini, bahkan telahpun tamat dibincangkan oleh mereka. Menuduh mereka sebagai pemuja metodologi Yunani. Menuduh mereka sebagai ahli bid’ah. Allahu Allah. Ya Allah, ampunilah hamba-hambaMu yang jahil murakkab ini[9].

Saranan saya kepada semua, hiasilah lapangan ilmiah dengan bersangka baik dan berlapang dada. Saya tidak katakan perlu bersangka baik sehingga sudah jelas batil pun kita masih membenarkan sahaja. Tetapi dengan banyak bersangka baik, kita akan lebih berlemah lembut dan beradab dalam membincangkan apa-apa jua perkara samada ia berbentuk ilmiah, mahupun tidak. Ianya berbentuk usul (asas) agama atau hanya furu’ sahaja (cabang).

Bukankah sikap ini yang diajarkan oleh baginda SAW kepada kita? Bukankah sikap ini yang diperagakan oleh para sahabat RA buat tatapan umat terkemudian ini? Bukankah ini sikap para mu’minin?

Para mu’minin itu berlemah lembut, berkasih sayang, bersangka baik, dan berlapang dada. Lebih-lebih lagi sesama saudaranya sendiri.

Semoga kita menjadi pengikut baginda Nabi SAW yang sentiasa cuba merealisasikan ayat al-Qur’an :



و كذلك جعلناكم أمّةً وسطا


Bermaksud : Dan (disebabkan itu) yang demikian Kami jadikan kamu (Umat Nabi Muhammad) sebagai umat yang pertengahan (adil).

( Surah Al-Baqarah : 143 )

Biarkanlah arus perkembangan ilmiah kita dalam memahami Islam berada dalam keadaan tenteram umpama air yang mengalir tenang. Jangan dikocak-kocak dengan sengaja. Dan jangan pula berasa cemburu dengan ketenangan itu. Moga terjawab persoalan yang diberikan. W-Allahu A’lam.

Rujukan :

  1. Mushaf Uthmani ; Al-Qur’an Al-Karim.
  2. " تحفة المريد على جوهرة التوحيد " atau Tuhfatul-Murid ‘ala Jauharah at-Tauhid ; Imam Baajuri.
  3. " الاقتصاد في الاعتقاد " atau Al-Iqtishad fi al-I’tiqad ; Hujjatul-Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali.
  4. " الجانب الإلهي في فكر الامام الغزالي " atau Al-Jaanibul-Ilaahi fi Fikril-Imam al-Ghazaali ; Prof. Dr. Toha Hibisyi ad-Dusuuqi.

[1] Asma’ul-Husna adalah istilah yang menunjukkan nama-nama yang sangat baik bagi Allah iaitu nama-nama yang menerangkan sifat-sifat ketuhanan, kesempurnaan, keagungan, dan kesucian-Nya. Terdapat sebuah hadis daripada baginda SAW yang menyatakan maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT itu mempunyai 99 nama selain nama ‘Allah’. Sebahagian para ulama’ menjelaskan bahawa angka 99 itu merujuk kepada nama-nama yang utama dan nyata sebagaimana yang disebutkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Hakikat nama-nama bagi Allah itu tidaklah terhad hanya dengan kadar 99 nama sahaja. Allahu A’lam.

[2] Rujuk bab " فكلّ من كُلّف شرعاً وجبا # عليه أن يعرف ما قد وجبا ", Tuhfatul-Murid ‘ala Jauharah at-Tauhid ( تحفة المريد على جوهرة التوحيد ). Karangan Imam Baajuri.

[3] Diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya.

[4] Ulama Ilmu Kalam atau Ilmu Tauhid.

[5] Antaranya Imam Junaid Baghdadi, Imam Laqqani di dalam “Jauharah”, Imam Abu Ja'far at-Tohawi di dalam "Aqidah Tohawiyah" dan ramai lagi di kalangan para mutaqaddimin

(terdahulu).

[6] Antaranya Imam Ghazali di dalam “al-Iqtishad” dan lain-lain.

[7] sifat-sifat yang diitsbatkan bagi Allah kerana bertujuan untuk menafikan sifat-sifat yang kurang bagi Allah.

[8] Imam Ghazali telah menyelesaikan perbalahan di kalangan para ulama ilmu kalam dalam masalah penggunaan istilah ‘awal’ dan ‘qidam’. Rujuk " الاقتصاد في الاعتقاد " atau al-Iqtishad fi al-I’tiqad ; Bab menyucikan Zat Allah daripada perkara yang tidak layak bagi-Nya ; Allah itu bersifat Maha Awal.

[9] Jahil Murakkab adalah istilah yang digunakan oleh para Manatiqah (ahli Mantiq) dalam menyatakan golongan yang jahil tentang sesuatu perkara, bahkan dia juga tidak tahu bahawa dirinya itu jahil.


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails