Friday 26 March 2010

Toleransi Ulama, Rahmat buat Ummah


Barangkali berita sedih pemergian al-Marhum al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Syaikhul Azhar umpama sebuah peristiwa yang biasa berlaku di kaca mata kebanyakan masyarakat dunia. Barangkali juga ianya adalah suatu ‘rahmat’ di sisi orang-orang yang sentiasa mengambil peluang untuk menimbulkan perpecahan di kalangan umat ini. Barangkali juga ada yang semakin basah lidah mereka itu dengan tohmahan dan buhtan[1] ke atas para ulama Ahli Sunnah. Seolah-olah mereka ini menyifatkan kewafatan Syaikhul Azhar sebagai suatu berita gembira. Wailahu man qaala bihi[2].

Namun, berita ini adalah suatu kesedihan, kerugian, dan suatu petanda dari Allah di sisi para ulama sedunia khususnya, dan kepada umat Islam yang berjati diri Islam sebenar secara amnya.

Hari ini, khutbah Jumu’ah di Masjid as-Syarbini berhampiran rumah saya disampaikan oleh Prof. Dr. Ahmad Mahmud Karimah.[3] Sebaik menunaikan rukun-rukun asas khutbah Jumu’ah, beliau dengan lantang terus mengingatkan para jama’ah akan sebuah hadis sohih berbunyi :

إنّ الله لا يقبض العلم انتزاعاً و لكنّ يقبضه بقبض العلماء

Bermaksud : Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut (mengangkat) sesuatu ilmu itu secara menyentapnya, tetapi Dia mencabutnya dengan mencabut (nyawa) para ulama’ (mematikan mereka).

Sebahagian riwayat yang lain dengan jelas menyebutkan lafaz " بموت العلماء " bermaksud : dengan kewafatan para ulama’.

Dr. Ahmad Mahmud Karimah

Beliau hafizahullah mengecam tindakan sesetengah pihak khususnya di Mesir yang ‘memanfaatkan’ peluang untuk menyebarkan kepada umum bahawa berita kewafatan al-Imam al-Akbar adalah suatu pertolongan daripada Allah. Beliau sendiri menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah bersalahan dengan syariat Allah. Ianya adalah suatu bala’ yang besar kepada umat ini jika ianya berlarutan.

Tindakan golongan ini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk menegakkan kebenaran, tetapi bertujuan untuk menyebarkan fitnah di kalangan umat Islam agar terus berlaku perpecahan lantas menyulitkan perpaduan sesama penganut agama yang suci ini. Kebenaran yang mereka cuba tegakkan adalah kemahuan hawa nafsu mereka dalam memperlekehkan orang yang tidak sealiran dengan mereka.

Tidak sedarkah mereka, bahawa tindakan itu hanya akan membuka pintu dan jalan kepada semua orang tanpa mengira kelayakan untuk memberikan kritikan kepada para ulama’?

Tidak sedarkah mereka, lisan yang bertutur itu semuanya akan dipertanggungjawabkan kelak?

Terlupakah mereka ayat-ayat Allah yang menyebutkan kemuliaan golongan ini? Terlupa jugakah mereka, bahawa daging para ulama’ itu sangat beracun?

إنّما يخشى اللهَ من عباده العلماءُ

Bermaksud : Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang takut kepada-Nya itu hanyalah para ulama’.

Mengenai senario ini, Dr. Ahmad menjelaskan bahawa beliau sendiri pernah berkhilaf[4] dengan al-Marhum dalam beberapa permasalahan hukum. Beliau sendiri pernah berdebat dengan al-Marhum berhubung pendirian Syaikhul Azhar yang terkenal dilihat sentiasa berpihak kepada kepentingan politik Mesir dan bukannya kepentingan umat sejagat.

Al-Marhum rahimahullah semasa hayatnya sering mendapat kritikan daripada kawan mahupun lawan. Kadang kala ianya bersangkutan dengan fatwa-fatwa yang dikemukakan seperti riba bank itu tidak haram secara syara’, isu diskriminasi tudung di Perancis, kadang kala mengenai isu ummah seperti pembinaan tembok keluli di sempadan antara Mesir-Gaza, dan terakhir adalah mengenai isu pengharaman purdah.

Beliau rahimahullah sendiri telah memperjelaskan dengan terperinci tentang situasi sebenar di sebalik isu yang dimainkan oleh pihak media tempatan dan antarabangsa.

Berbicara tentang pertikaian umum terhadap pendapat-pendapat beliau ini, Dr. Ahmad menegaskan bahawa umum tidak layak untuk mempersoalkannya jika mereka bukan ahlinya. Ini kerana, para ulama’lah yang berkelayakan untuk memegang tugas tersebut. Tidak mungkin kesemua para ulama’ mendiamkan perkara tersebut jika memang nyata salah dan bertentangan dengan syari’at Islam. Hadis Nabi SAW menyebutkan :

لا تجتمع أمّتي على ضلالة

Bermaksud : Umatku (para ulama’ bagi umatku) tidak (mungkin akan) bersepakat pada perkara yang sesat.

Hadis ini juga menjadi dalil yang kuat dalam menyatakan autoriti Ijma’ sebagai salah satu daripada sumber perundangan Islam.

Dr. Ahmad juga turut menyatakan seseorang itu (yang berkelayakan sahaja) jika berijtihad mengeluarkan pendapat, beliau telah melaksanakan tugas yang diletakkan atas pundak bahunya. Kedudukan seseorang Syaikhul-Azhar yang sememangnya akan terlibat secara rasmi dalam memberikan fatwa adalah bersesuaian dengan tindakan yang dilaksanakan oleh al-Marhum. Beliau menginatkan kami sebuah hadis yang cukup masyhur mengenai ijtihad, Baginda SAW diriwayatkan telah bersabda :

المجتهد إذا أصاب فله أجران و إذا أخطأ فله أجر

Bermaksud : Seorang yang berijtihad (mujtahid yang memiliki kelayakan untuk melakukannya) sekiranya (ijtihad itu) betul maka baginya dua ganjaran, dan sekiranya salah maka baginya satu ganjaran.

Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga ketika memperkatakan mengenai peribadi sahabat baik beliau (al-Marhum Syaikh Thontowi), sering menyebut kebaikan dan kemuliaan al-Marhum berbanding menyatakan perselisihan yang berlaku di antara mereka di lapangan ilmiah dan isu ummah. Ini kerana menjaga kehormatan ulama’ itu adalah untuk kesejahteraan ummah. Kerana para ulama’lah yang menjalankan tugas untuk menyebarkan risalah agama dengan sebenar-sebenar didikan Rasulullah SAW. Bukan internet, bukan kitab, bukan itu dan bukan ini, tetapi para ulama’ !

العلماء ورثة الأنبياء

Bermaksud : Para ulama’ itu adalah pewaris para anbiya’.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Lihat, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang mempunyai tahap kelimuan yang diperakui, yang mempunyai posisi penting dalam menyampaikan suara para ulama’, dan yang pernah berselisih pendapat dengan keras dengan al-Marhum sendiri juga pun tidak menyebar luaskan bau persengketaan kepada umum. Tidak semasa hayat al-Marhum, mahupun selepas kewafatan beliau.

Bermakna, tidak semua orang bebas untuk memberikan kritikan dan tidak semua keadaan itu harus diselesaikan dengan mengkritik. Apa lagi jika ianya bukan atas tujuan mendapatkan keredhaan Allah. Ianya tetap mempunyai batas-batas yang perlu dituruti, dihormati dan diredhai.

Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda :

من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه

Bermaksud : Di antara tanda baiknya (agama) Islam seseorang itu adalah (dia) meninggalkan apa yang tidak berkaitan dengan dirinya.[5]

Hormatilah batas-batas ini wahai saudaraku.

* * * * * * *

Islam mendidik kita menjaga lidah kita daripada menyakiti saudara kita. Islam dengan didikannya yang suci dan lengkap meliputi kesemua perkara, yang kita mampu fikirkan mahupun yang tidak mampu dicapai oleh pancaindera kita, tetap menekankan soal adab. Biarpun kekuatan Islam itu terletak pada kebenaran yang dibawanya, namun Islam tetap menitik beratkan soal adab.

Rasulullah SAW pernah bersabda :

المسلم من سلم المسلمون من لسانه و يده

Bermaksud : Seorang muslim itu adalah (bilamana) kaum muslimin itu terpelihara daripada (menerima kutukan kesat) lidahnya dan juga (perbuatan jahat) tangannya.[6]

Betapa Rasulullah SAW sentiasa mentarbiyah[7] para pengikutnya itu agar sentiasa memelihara lidah mereka, dan tangan mereka daripada sampai menyakiti orang lain.

Bukankah Al-Qur’an juga mengajarkan :

و قولوا للنّاس حسناً

Bermaksud : Dan katakanlah kamu semua kepada umat manusia itu dengan yang baik.[8]

Ini selaras dengan kalam baginda Rasulullah SAW bilamana bersabda :

إنّما بُعثتُ لأتمم مكارم الأخلاق

Bermaksud : Adapun sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.[9]

Justeru, berhati-hatilah dalam berinteraksi sesama kita baik di kalangan saudara seagama mahupun bukan. Moga manfaat diperolehi bersama.

00 :30, Jumaat, 26 mac 2010

Hayyu Asyir, Kaherah.

Rujukan :

1) Mushaf Uthmani : riwayat Hafs daripada Imam ‘Ashim.

2) " شرح الأربعين النووية " karangan Imam Nawawi.


[1] Tuduhan berat atau penipuan dan pendustaan besar. Orang Melayu kita suka memberikan makna yang silap dengan menggunakan istilah ‘fitnah’ untuk merujuk kepada kata-kata penipuan atau tuduhan. Fitnah di dalam bahasa Arab (bahasa sebenar bagi perkataan ini) bermaksud ujian atau bala’.

[2] Celakalah bagi mereka yang berkata sedemikian. Ayat ini menjadi adat orang Arab untuk menyatakan ketidaksetujuan mereka mengenai sesuatu pendapat. Sebahagian hadis dan atsar para sahabat juga mempunyai lafaz-lafaz seperti ini. W-Allahu A’lam.

[3] Beliau merupakan bekas pensyarah kanan di kuliah Dirasat Islamiyah, Universiti al-Azhar. Kini beliau merupakan anggota Lembaga Tertinggi, Panel Penyelidikan Ilmiah Al-Azhar As-Syarif, dan anggota Majlis Fatwa Al-Azhar.

[4] Berselisih pendapat atau bertentangan pendapat.

[5] Hadis riwayat Imam Tirmidzi dan Ibnu Majah. Rujuk “al-Arba’ien” karangan Imam Nawawi ; Hadis 12.

[6] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam kitab sahihnya.

[7] mendidik

[8] Surah Al-Baqarah : 83

[9] Hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan selainnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails